PENDEDAHAN gajet kepada kanak-kanak memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Muhammad Saufi Hassan


DUNIA digital hari ini sememangnya berkait rapat dengan kemudahan peranti yang membolehkan pengguna mencapai jaringan Internet.

Bagaimanapun, hasil daripada kemudahan itu juga mendedahkan kanak-kanak kepada gajet pada usia yang terlalu awal sehingga mengakibatkan wujud masalah lain.

Masalah yang sering dihadapi kanak-kanak yang terlampau terdedah dengan gajet adalah masalah saraf termasuk kerosakan mata.

Generasi hari ini adalah golongan awal yang terdedah kepada penggunaan peranti pintar bahkan di peringkat bayi sudah diberikan pelbagai peranti.

Mungkin bagi segelintir pendapat bahawa keadaan itu bertitik tolak kepada kemajuan dunia digital, namun tanpa disedari sebenarnya wujud masalah yang lebih besar.

Menerusi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengeluarkan satu garis panduan berhubung penggunaan gajet kepada kanak-kanak yang memungkinkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan fizikal serta mental mereka.

Garis panduan itu dikeluarkan untuk penggunaan peranti bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun supaya menjaga perkembangan fizikal serta mental mereka.

Berdasarkan garis panduan itu, kanak-kanak berusia di bawah setahun dilarang menggunakan peranti sama sekali kerana dalam usia itu adalah perkembangan yang kritikal malah retina mata mereka masih lemah untuk menerima pencahayaan skrin terlalu terang.

Bagi umur dua hingga empat tahun, masa penggunaan skrin perlu dihadkan di bawah satu jam saja. Pada waktu yang sama kanak-kanak di dalam julat umur ini perlu melakukan aktiviti aktif sekurang-kurangnya tiga jam sehari bagi memastikan kesihatan tubuh badan.

Waktu tidur di antara 11-13 jam sehari turut disarankan supaya perkembangan minda mereka lebih baik tanpa gangguan gajet.

Saranan ini adalah perlu bagi mengelakkan kematian awal kerana kehidupan yang tidak sihat.

Sebanyak 25 peratus orang dewasa dan 80 peratus remaja didapati tidak mempunyai kehidupan yang aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 11:23 AM