SAMSUNG Galaxy A70 antara peranti kelas pertengahan yang mengagumkan
Muhammad Saufi Hassan


SAMSUNG dilihat semakin memperhebatkan model pilihan telefon pintar keluarannya terutama membabitkan segmen peranti kelas pertengahan.

Ini dibuktikan dengan pelbagai model segmen berkenaan yang menawarkan spesifikasi yang sangat baik sekali gus merancakkan lagi industri pengeluaran telefon pintar.

Jika sebelum ini, Samsung mungkin lebih terkenal dengan jenama premium dalam kelas mercu atau ‘flagship’ milik mereka, kini persepsi itu seakan sudah berubah.

Terkini, Samsung melancarkan Galaxy A70 yang menggunakan pemproses Snapdragon 675 yang dipadankan dengan memori (RAM) 8GB.

Storan peranti ini ditawarkan dalam kapasiti 128GB dan skrin paparan Super AMOLED 6.7 inci dengan definisi penuh dipertingkatkan (FHD+).

Walaupun telefon pintar terbabit tergolong dalam kelas pertengahan, peranti ini turut dilengkapi dengan imbasan cap jari dalam skrin bersama rekaan skrin takuk dikenali ‘Infinity-U’.

Bateri yang ditawarkan untuk peranti ini adalah 4,500 mAh dan ia satu kapasiti yang besar sekali gus memberi jangka hayat yang lebih panjang dan risau untuk mengecas semula.

Bagi keupayaan kamera pula, Samsung Galaxy A70 menggunakan lensa tiga kamera yang mempunyai fungsi tersendiri setiap lensa.

Untuk lensa utama, ia berkeupayaan pada 32 megapixel (MP) + 8MP + 5MP manakala bagi kamera swafoto ia mempunyai keupayaan lensa 32MP.

Sebelum ini, Samsung memperkenalkan dua model lain daripada generasi sama iaitu Galaxy A30 dan A50 untuk mendominasi segmen pasaran kelas pertengahan.

Samsung juga bijak melakukan penawaran daripada aspek spesifikasinya malah rekaan peranti terbaru mereka juga kelihatan lebih premium berbanding sebelumnya.

SPESIFIKASI

• Pemproses: Snapdragon 675

• RAM: 8GB

• Storan: 128GB

• Bateri: 4,500mAh

• Kamera utama: 32MP + 8MP + 5MP

• Kamera swafoto: 32MP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 12:39 PM