CIRI utama yang ditawarkan adalah pengimbas cap jari biometrik di bawah skrin paparan.
Muhammad Saufi Hassan


TIDAK keterlaluan jika meletakkan Samsung Galaxy A70 sebagai peranti terbaik dalam kelas pertengahan berdasarkan penawaran spesifikasi yang baik berbanding model lain yang berada di pasaran.

Tahun ini, Samsung dilihat begitu aktif dalam pelancaran telefon bimbit kelas pertengahan dengan beberapa siri utama mereka yang menawarkan spesifikasi sangat baik berbanding jenama lain.

Bagi Galaxy A70, peranti ini menggunakan pemproses berkuasa daripada Qualcomm iaitu Snapdragon 675 yang dipadankan dengan keupayaan memori (RAM) 6GB serta 8GB.

Telefon pintar ini didatangkan dengan dua varian berbeza dan pengguna boleh memilih sama ada mahukan peranti yang menawarkan lebih RAM supaya tidak mengganggu sebarang aplikasi pelancaran, namun harga untuk kedua-duanya adalah berbeza.

Berdasarkan binaan fizikalnya, Samsung meletakkan skrin paparan sebesar 6.7 inci Super AMOLED untuk menghasilkan paparan lebih jelas walaupun berada di bawah sinaran mentari.

Peranti ini juga masih mengekalkan bicu 3.5 mm untuk fon kepala termasuk menyokong storan tambahan berasaskan kad MikroSD untuk membolehkan penggunanya lebih banyak menyimpan gambar atau data.


PERANTI berkenaan menggunakan pemproses keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 675.

Tanda harga yang diletakkan untuk peranti ini juga disifatkan sebagai mampu milik walaupun telefon pintar ini menawarkan pelbagai spesifikasi terkini kepada pengguna.

Samsung Galaxy A70 menggunakan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama berkemampuan 32 megapixel (MP) digabungkan dengan 8MP lensa sudut ultra luas serta 5MP untuk sensor gambar.

Bagi kamera swafoto pula, peranti berkenaan menggunakan lensa tunggal dengan keupayaan resolusi 32MP dan mampu untuk merakam video pada 1080p dengan 30 bingkai sesaat (FPS).

Secara keseluruhannya, Galaxy A70 boleh dinobatkan sebagai peranti kelas pertengahan terbaik berdasarkan padanan spesifikasi termasuk prestasi telefon pintar berkenaan.

Ciri utama yang pastinya menarik perhatian pengguna adalah sensor pengimbas cap jari biometrik di bawah paparan yang kebiasaannya ciri berkenaan khusus untuk peranti kelas mercu saja.

Keupayaan kamera peranti itu juga tidak mengecewakan apabila mampu untuk beroperasi dalam sebarang keadaan dalam kelas pertengahan.

Jika anda mencari peranti kelas pertengahan yang mampu melancarkan sebarang aplikasi serta merakam gambar dalam kualiti yang baik, Galaxy A70 adalah jawapannya dan anda pasti berpuas hati dengan prestasinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 9:06 AM