FOTO NSTP
FOTO NSTP
Muhammad Saufi Hassan

KEBANYAKAN pihak beranggapan aplikasi hiburan seperti TikTok adalah melalaikan tanpa memberi faedah kepada diri sendiri mahupun masyarakat sekeliling.

Namun, tidak bagi sekumpulan empat pelajar apabila mereka menggunakan aplikasi hiburan itu untuk menyebarkan maklumat serta seni kraf tangan sekali gus membuktikan aplikasi hiburan tak melalaikan jika digunakan melalui saluran yang betul.

Mereka yang juga pelajar di Institut Kraftangan Negara (IKN) menggunakan aplikasi berkenaan untuk menyebarkan maklumat berkaitan seni budaya berkenaan sehingga mendapat perhatian umum.

Anak muda ini, Norzailatul Hasyima Zulkifli, 19, yang mempunyai pengkhususan kepakaran dalam bidang batik, Afiqah Azlan, 21, (tenunan), Muhammad Yusyairi Mat Yusoff, 21, (pertukangan barang kemas) dan Syaza Atirah Saripuddin, 22 (batik).

Keempat-empat pelajar IKN ini menggunakan platform unik iaitu aplikasi TikTok dan mereka nyata selesa untuk berkongsi minat di samping menyebarkan maklumat berkaitan seni kraf tangan dengan pihak lain.

Muhammad Yusyairi berasakan begitu selesa menggunakan TikTok untuk menyebarkan maklumat bermanfaat kepada orang lain memandangkan aplikasi berkenaan mempunyai proses suntingan video yang mudah.

FOTO NSTP
FOTO NSTP

“Walaupun ada menggunakan laman sosial yang lain iaitu Instagram dan Facebook, prestasi video yang dikongsi menerusi TikTok sangat berbeza dan mendapat jumlah tontonan yang tinggi selain banyak komen positif.

“Malah, saya juga dapat menerima tempahan yang tinggi sejak berkongsi video produk hasil seni diaplikasi berkenaan. Jadi, ia membuktikan aplikasi hiburan bukan saja untuk hiburan semata-mata namun jika dimanfaatkan sebaik-baiknya akan dapat memberi faedah,” katanya.

Perkara sama turut dikongsi Syaza Atirah yang mengakui aplikasi berkenaan banyak membantunya daripada aspek penjanaan pendapatan menerusi tempahan yang diterima.

CONTOH akaun seorang daripada anak muda terbabit yang mengandungi pelbagai hasil seni. FOTO NSTP
CONTOH akaun seorang daripada anak muda terbabit yang mengandungi pelbagai hasil seni. FOTO NSTP

“Sebelum ini, saya sudah lama menggunakan aplikasi berkenaan untuk hiburan, tetapi sejak mendapat tunjuk ajar daripada TikTok menerusi bengkel pelajar bersama TikTok sempena kempen #ilovearts, saya mula menghasilkan video bertemakan batik.

“Ia cukup mudah, saya perlu mengambil video pendek dan terus melakukan suntingan di dalam aplikasi. Video saya pun mudah untuk mendapatkan jumlah tontonan dan individu berminat boleh melakukan tempahan,” katanya.

Menurutnya, walaupun ada yang mungkin memandang sinis atau mengemukakan komen negatif, perkara itu bukan satu isu besar kerana apa yang penting adalah diri sendiri.

APLIKASI TikTok digunakan untuk menjana pendapatan menerusi perkongsian video seni. FOTO NSTP
APLIKASI TikTok digunakan untuk menjana pendapatan menerusi perkongsian video seni. FOTO NSTP

Katanya, walaupun aplikasi TikTok itu berasaskan hiburan, jika pengguna bijak dan menggunakan platform itu untuk tujuan yang baik sudah pasti ia akan memberikan hasil.

“Akaun TikTok saya mempunyai banyak kandungan bertemakan seni. Saya gunakan aplikasi ini untuk menyebarkan maklumat berkaitan seni kraf tangan dan pada masa sama, boleh menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Pengalaman empat anak muda itu menggunakan aplikasi hiburan untuk menjana pendapatan adalah bukti tidak semua aplikasi hiburan melalaikan kerana ia terpulang kepada pemilik akaun.

DARI kiri, Syaza Atirah, Norzailatul Hasyima,  Afiqah dan Muhammad Yusyairi membuktikan aplikasi hiburan mampu memberikan pulangan yang baik jika tahu menggunakannya. FOTO NSTP
DARI kiri, Syaza Atirah, Norzailatul Hasyima, Afiqah dan Muhammad Yusyairi membuktikan aplikasi hiburan mampu memberikan pulangan yang baik jika tahu menggunakannya. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 10:36 AM