ASUS TUF Gaming FX-505D menggabungkan kad grafik Nvidia dan pemproses AMD.
Muhammad Saufi Hassan


JIKA melihat daripada segmen laptop di pasaran, kebanyakan jenama akan menawarkan laptop gabungan pemproses milik Intel dan kad grafik Nvidia GeForce sehingga perkara itu dilihat satu kebiasaan.

Malah, perkara utama yang sering menjadi titik pembelian kepada sesebuah model laptop adalah pemproses yang digunakan serta kad grafik termasuk sistem storan kerana ia penting bagi menentukan prestasi peranti itu.

Buat julung kalinya, Asus menerusi produk laptop TUF Gaming FX-505D menggabungkan pemproses milik Advanced Micro Devices (AMD) iaitu daripada Ryzen 7 yang dipadankan dengan kad grafik Nvidia GeForce GTX 1660 Ti.

Ia padanan yang sangat menarik apabila pasaran sudah dipenuhi oleh pemproses Intel dan daripada satu aspek lain, pemproses Ryzen mempunyai prestasi yang lebih baik daripada Intel.

Asus TUF Gaming FX-505D sememangnya satu peranti yang sangat baik apabila ia menggunakan pemproses Ryzen 7 3750 dan menggunakan sistem storan 512GB NVMe SSD.

Bagi pengguna yang mahukan prestasi baik, tanpa menunggu lama tatkala menghidupkan laptop anda, FX-505D adalah jawapannya kerana peranti ini menggunakan storan jenis NVMe yang mempunyai kadar bacaan data lebih tinggi daripada cakera keras konvensional.

Berdasarkan spesifikasi laptop ini, Asus TUF Gaming FX-505D didatangkan dengan memori (RAM) 8GB 2666MHz DDR4 dan mempunyai satu slot RAM kosong dan pengguna boleh menambah keupayaan memori secara berasingan.

Skrin paparan peranti ini menggunakan 15.6 inci definisi penuh iaitu resolusi 1920 x 1080 pada kadar segar semula 120Hz dan ia adalah skrin menggunakan panel IPS.

Laptop ini juga mempunyai perisian terbina iaitu Armoury Crate untuk pengguna mengubah suai prestasi mengikut cita rasa.

Penulis sangat berpuas hati dengan laptop ini kerana ia bukan saja mampu untuk bermain sebarang permainan terkini yang memerlukan keupayaan grafik, malah tugasan seperti sintesis imej, video atau animasi (rendering) juga amat mudah dan pantas.

Ini kerana sistem storan laptop ini menggunakan jenis NVMe SSD termasuk keupayaan pemproses iaitu Ryzen 7 yang mempunyai empat teras dan lapan bebenang.

Bagaimanapun, penulis merasakan bahawa laptop ini boleh dipertingkatkan prestasinya jika padanan pemproses digabungkan dengan kad grafik Nvidia GeForce RTX 2060 dan bukannya GTX 1660 Ti.

Kad grafik GTX 1660 Ti secara tidak langsung mengehadkan prestasi (bottleneck) pemproses berkenaan daripada keupayaan sebenarnya.

Menyentuk aspek binaan luar, laptop ini kemas dibina dan lulus ujian ketahanan MIL-STD 810G iaitu peranti berkenaan berkeupayaan untuk menyerap hentakan dan gegaran teruk.

Penulis berpendapat bahawa laptop ini sesuai untuk semua tugasan termasuk permainan cuma yang agak mengecewakan adalah gabungan pemproses dan kad grafik yang dilihat mampu untuk mengganggu prestasi sebenarnya.


LAPTOP ini mempunyai prestasi yang baik.

SPESIFIKASI

•Pemproses : Ryzen 7 3750H

•Kad grafik : Nvidia GeForce GTX 1660 Ti

•RAM : 8GB DDR4 2666MHz

•Storan : 512GB NVMe SSD

•Skrin : 15.6 inci panel IPS dengan kadar segar semula 120Hz

•Berat : 2.2 kilogram

KOMEN

•Prestasi : 3.5/5

•Rupa bentuk : 4/5

•Boleh beli : 4/5

•Keseluruhan : 4/5

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2019 @ 11:37 AM