REKAAN yang menarik dan sesuai dengan produk kualiti premium.

Reviu Produk

Muhammad Saufi Hassan

[email protected]

Pengeluar pemproses terkemuka iaitu Advanced Micro Devices (AMD) baru saja melancarkan generasi Ryzen Siri 3000 dan kini, ‘kaki game’ pastinya sedang mencari-cari papan induk (motherboard) yang sesuai untuk dipadankan dengan pemproses generasi baru itu.

Jika menyentuh jenama pengeluar papan induk, terdapat beberapa ‘nama besar’ di pasaran namun paling mencuri perhatian adalah ‘ASUS Republic of Gamers’ (ROG) memandangkan jenama ini sering melancarkan produk kelas premium yang pastinya sangat baik.

Bagi pemproses Ryzen Siri 3000 ini, ASUS ROG sudah pun memperkenalkan barisan papan induk mereka dan kali ini, [email protected] akan menilai sendiri papan induk ASUS ROG Crosshair VIII Hero (WiFi) yang menggunakan set cip X570.

Menerusi spesifikasi teknikalnya, papan induk ini menggunakan struktur jenis soket AMD AM4 dan boleh digunakan untuk pemproses Ryzen Siri 2000 dan Siri 3000 serta dilengkapi dengan dua sambungan storan jenis M.2.

Paling utama, bagi penggemar sukan elektronik yang mahu melakukan kombinasi sambungan dua kad grafik, papan induk ini adalah jawapan kepada keraguan anda.

Selain menyokong pemproses Ryzen Siri 2000 dan Siri 3000, ASUS ROG Crosshair VIII Hero (WiFi) turut menyokong sambungan dua kad grafik iaitu Nvidia SLI mahupun kad grafik keluaran AMD iaitu sambungan CrossFireX.

Papan induk jenis ini juga mempunyai sambungan USB 3.2 Gen2 dan AMD StoreMI untuk memaksimumkan jaringan rangkaian dan kelajuan.

Apa yang menarik, papan induk ini direka menerusi rekaan haba komprehensif antaranya adalah set cip aktif peredam haba, M.2 peredam haba jenis aluminium dan sistem penyejukan unik ROG (ROG Cooling Zone).

Jika anda tidak mahu menggunakan kabel LAN untuk melakukan sambungan Internet, papan induk ini dilengkapi dengan sistem sambungan jaringan tanpa wayar WiFi 6 (802.11ax) dengan sokongan MU-MIMO serta menyokong kelajuan sehingga 2.5GBps.

Ia sangat sesuai untuk melakukan pelaburan terhadap papan induk jenis ini terutamanya ketika semua pihak sedang bercakap tentang jaringan 5G dan papan induk ini mampu untuk melakukan sambungan WiFi jenis itu.

Papan induk ini dilengkapi dengan sambungan PCIe 4.0 termasuk 16 peringkat kuasa yang memberikan lebih kestabilan prestasi terutamanya untuk 'kaki games' atau pun mereka yang mahu komputer berprestasi tinggi.

ASUS ROG Crosshair VIII Hero (WiFi) adalah manifestasi sebenar produk premium dan anda pasti merasakan ia sesuatu perkakas yang sangat baik dengan hanya melihat kepada kotak dan bagaimana ia disimpan rapi.

Untuk segmen perkakasan komputer, jenama ASUS ROG tidak pernah mengecewakan dengan membawakan produk berkualiti tinggi dan papan induk ASUS ROG Crosshair VIII Hero (WiFi) adalah contoh terbaik terhadap kualiti produk yang begitu baik.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi terbina iaitu Armoury Crate dan boleh menggunakan perisian eksklusif ASUS antaranya ASUS Dual Intelligent dan membolehkan pengguna melakukan talaan prestasi dengan mudah.

Secara keseluruhannya, penulis melihat ASUS ROG Crosshair VIII Hero (WiFi) adalah papan induk berprestasi tinggi namun ia tidak hadir dengan tanda harga yang rendah memandangkan kualiti serta prestasi yang ditawarkan.

SPESIFIKASI

Soket pemproses : AMD Generasi Ryzen 1000 / 2000 / 3000

Rekaan set cip : X570

Slot memori : 4 slot DDR4 (128GB)

Slot PCIe 4.0 : 2 slot

Sambungan Internet : Intel® Wireless-AX 200 2 x 2 Wi-Fi 6 (802.11 a/b/g/n/ac/ax) dengan teknologi MU-MIMO yang menyokong frekuensi berkembar iaitu 2.4GHz / 5GHz

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2019 @ 5:30 AM