KUALA LUMPUR 14 JULAI 2019 Call of Duty Mobile sedang diuji di beberapa negara dan akan dilancarkan tidak lama lagi. NSTP/EMAIL
Muhammad Saufi Hassan

MOD permainan pertempuran beramai-ramai sudah menjadi kegilaan kebanyakan penggemar sukan elektronik sama ada dalam platform konsol, desktop atau mudah alih.

Penerbitan beberapa judul utama yang mencetuskan fenomena iaitu PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile, Apex Legends dan Fortnite sudah memberi kesan luar biasa dan kini beberapa judul sedang meninjau pasaran mudah alih.

Sebaik selepas PUBG melancarkan siri mudah alih yang boleh dimuat turun secara percuma di PlayStore atau Apple Store, ia adalah kejayaan sangat besar dan kini beberapa penerbit permainan berhasrat melakukan perkara sama.

Terkini, penerbit permainan ‘Call of Duty’ (COD) iaitu Activision akan menggunakan khidmat Tencent iaitu pembangun sama PUBG Mobile untuk menerbitkan judul berkenaan versi mudah alih tidak lama lagi.


KUALA LUMPUR 14 JULAI 2019 Call of Duty Mobile sedang diuji di beberapa negara dan akan dilancarkan tidak lama lagi. NSTP/EMAIL

Siri permainan COD Mobile kini sudah memasuki fasa ujian di beberapa negara dan penerbitnya berjanji memperluaskan fasa berkenaan ke beberapa negara.

Berdasarkan latar permainan itu, ia menampilkan konsep sama yang digunakan oleh permainan PUBG Mobile iaitu Battle Royale.

COD Mobile dikhabarkan akan menampilkan beberapa jenis permainan dengan pemain lain (PvP) termasuk mod permainan Battle Royale.

Beberapa video yang dimuat naik menunjukkan COD Mobile mempunyai kekuatan dalam aspek perincian grafik yang begitu baik jika dibandingkan dengan PUBG Mobile.

Judul permainan ini juga akan menggunakan sebahagian daripada dunia COD dalam versi desktop untuk menarik perhatian umum.


KUALA LUMPUR 14 JULAI 2019 Call of Duty Mobile sedang diuji di beberapa negara dan akan dilancarkan tidak lama lagi. NSTP/EMAIL

Konsep permainan COD Mobile mirip PUBG Mobile iaitu individu atau pasukan yang kekal bertahan sehingga penghujung adalah pemenangnya.

Penerbit permainan itu, Activision memaklumkan fasa ujian akan dikembangkan ke beberapa negara termasuk rantau Asia Tenggara tidak lama lagi.

Permainan ini juga boleh dimuat turun secara percuma sama ada menggunakan sistem operasi Android mahupun milik Apple iaitu iOS.

Setakat ini, mod permainan yang diketahui akan diperkenalkan adalah ‘Battle Royale’, ‘Frontline’, ‘Hardpoint’, ‘Domination’ dan ‘Team Deadmatch’.

Sesetengah pihak berpendapat COD Mobile bakal menandingi populariti PUBG Mobile kerana menggunakan konsep Battle Royale dan persekitaran dunia sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:39 PM