MENAWARKAN kesan grafik yang sangat baik dan terperinci.
Muhammad Saufi Hassan


SIRI permainan Gears of War tidak perlu diperkenalkan lagi memandangkan judul berkenaan sudah berjaya bagi empat siri sebelum ini dan menjadi antara permainan penembak ketiga (Third person shooter) paling berjaya.

Kini, pembangun permainan berkenaan iaitu The Coalition bersama penerbitnya, XBOX Game Studios melancarkan siri kelima iaitu Gears 5 yang sudah dilancarkan awal minggu ini.

Berdasarkan pengalaman permainan peringkat awal memperlihatkan Gears 5 masih mengekalkan kekuatan mereka sebelum ini iaitu penawaran kualiti grafik yang cukup baik bersama mekanik permainan yang unik jika dibandingkan dengan judul lain yang berada di pasaran.

Judul terbaharu ini juga berjaya membuktikan apabila pemain mahukan sesuatu permainan yang lengkap dengan aksi bersama senario tembak-menembak mencemaskan, Gears 5 masih digelar juara untuk semua itu.

Kekuatan yang ada bagi siri ini adalah keupayaan visual yang tidak perlu diperdebatkan lagi, penawaran pelbagai mod permainan dalam talian termasuk pengenalan kepada mekanik permainan yang baharu membuatkan pemain berasa lebih segar jika dibandingkan dengan siri terdahulu.


GEARS 5 adalah siri kelima di dalam Gears of War.

The Coalition juga cuba menampilkan konsep permainan dunia terbuka yang semakin menjadi kegilaan peminat sukan elektronik dan Gears 5 tidak ketinggalan apabila pemain perlu meneroka lebih banyak kawasan dan mencari lebih banyak peralatan unik.

Bagaimanapun, penulis berasakan pengenalan kepada konsep peta dunia terbuka ini tidak begitu menjadi dan ada kalanya menghilangkan selera penulis untuk meneruskan permainan, tetapi ia tidaklah terlalu teruk.

Mengimbau kembali siri pertama Gears of War yang dilancarkan 13 tahun lalu, sudah banyak perubahan yang dilalui bermula daripada konsep permainan sehingga kepada nilai aksi yang lebih baik pada keluaran terbaharunya.

Bagi pemain yang baharu mengenali siri ini, masih tidak terlambat mencuba keupayaan adrenalina anda dengan siri terbaharu namun anda memerlukan sedikit kerja tambahan.


MEKANIK permainan yang baharu memberi kesegaran kepada pemain berbanding siri sebelum ini.

Ia memandangkan Gears 5 adalah kesinambungan siri sebelum ini iaitu Gears of War 4 dan beberapa watak turut dikekalkan namun tidak terlambat untuk anda mencuba genre permainan ini.

Penulis tidak mahu menjadi pengacau ‘mood’ permainan anda atau ‘spoilers’ namun secara keseluruhannya, Gears 5 masih dalam kelas yang baik walaupun pengenalan eksperimen kepada konsep dunia terbuka agak membosankan.

Kekuatan siri ini kekal kepada aksi tembak-menembak yang mencemaskan selain kesan visual yang sangat baik termasuk perincian grafik. Jika anda mempunyai sistem perkakasan komputer yang baik, hasil adalah sangat mengagumkan. Penulis memberikan 4 bintang daripada lima secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:53 AM