HUAWEI MediaPad M5 Lite sesuai untuk kanak-kanak kerana mempunyai kawalan untuk golongan berkenaan.
Muhammad Saufi Hassan


SESUAI untuk kanak-kanak memandangkan peranti dilengkapi dengan teknologi mesra pengguna. Itu keupayaan tablet terbaharu keluaran Huawei iaitu MediaPad M5 Lite.

Huawei melancarkan siri tablet terbaharu keluarannya yang sesuai untuk semua golongan terutama kanak-kanak dengan tanda harga RM1,299.

Pada masa kini, kanak-kanak sangat terdedah dengan skrin peranti mudah alih dan kebanyakannya mampu untuk memberi kesan negatif kepada mata kanak-kanak jika terdedah dalam satu tempoh yang lama.

Bagaimanapun, menerusi peranti MediaPad M5 Lite, ibu bapa tidak lagi perlu bimbang kerana peranti itu dilengkapi dengan ‘Kids Corner’ dengan lima mod pelarasan skrin khusus untuk kanak-kanak.

Lima mod berkenaan adalah peringatan jarak optimum iaitu ciri ini memberikan peringatan pintar apabila tablet berada dalam kedudukan kurang daripada 25 sentimeter (sm) daripada muka pengguna.

Mod kedua adalah tatacara postur dan ciri ini memberikan peringatan kepada kanak-kanak untuk tidak melakukan aktiviti pembacaan jika peranti diletakkan di bawah.

Mod lain turut dilengkapi dengan pengubah suai warna pintar, lapisan pancaran biru dan kawalan masa penggunaan.

Menyentuh aspek spesifikasi tablet, peranti berkenaan menggunakan skrin paparan Definisi Penuh dengan panel IPS 10.1 inci yang menyokong resolusi 1920 x 1200.

Peranti berkenaan juga menawarkan skrin paparan yang jelas menggunakan teknologi ClariVu 5.0 yang memberikan tona warna pintar mengikut kesesuaian lokasi dan pencahayaan.

MediaPad M5 Lite juga didatangkan speaker jenama Harman Kardon yang sering digunakan di dalam sistem pembesar suara profesional.

SPESIFIKASI

PEMPROSES: Kirin 659

RAM: 4GB

Storan: 64GB

SKRIN: 10.1 inci denganpanel IPS

BATERI: 7,500mAh

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 10:56 AM