ANTARA pengunjung yang hadir pada pameran #mydigitalmaker 2018. FOTO/NSTP
ANTARA pengunjung yang hadir pada pameran #mydigitalmaker 2018. FOTO/NSTP
Muhammad Saufi Hassan


WUJUD keperluan untuk memberi pendedahan kepada pelajar berhubung segmen pekerjaan baharu yang berkisar dalam bidang teknologi dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 kelak.

Ia juga bertitik tolak kepada Revolusi Industri 4.0 apabila kebanyakan segmen pekerjaan bakal menggunakan teknologi semasa dan kecerdasan buatan (AI) dalam tugasan harian.

Sejajar dengan itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama Genesis Data Asia Sdn Bhd melancarkan platform 'Pelan Pemadanan Tertiari Teknikal Digital' yang menggunakan teknologi AI untuk melakukan pencarian profil dan padanan berdasarkan kepada keperluan untuk segmen pengajian digital.

Pelan Pemadanan Tertiari Teknikal Digital akan disediakan kepada orang ramai semasa pameran #mydigitalmaker 2019 yang akan diadakan pada esok dan Ahad di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur.

Naib Presiden Bahagian Tech Talent MDEC, Sumitra Nair berkata, ramai dalam kalangan pelajar kurang pendedahan berhubung kursus tertiari teknologi digital dan dana pendidikan yang layak.

"Mereka juga kurang mengetahui berhubung universiti mana yang mempunyai kursus yang berkaitan dengan industri dan permintaan pekerjaan yang tinggi.

"Satu-satunya cara untuk mengetahui pada masa ini adalah ibu bapa dan pelajar perlu menghabiskan masa berjam-jam meneliti setiap universiti dengan penawaran yang sesuai.

"Menerusi platform berasaskan AI ini, pelajar akan menerima bimbingan dan biasiswa peringkat pra-Universiti atau universiti yang disyorkan dalam masa beberapa minit dan keadaan itu memudahkan serta mempercepatkan proses membuat keputusan," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Menerusi platform ini juga, pelajar boleh memasukkan keputusan akademik mereka dan akan menerima cadangan universiti yang sesuai serta dana pendidikan yang berkaitan.

"Platform ini akan memudahkan pelajar untuk membuat keputusan yang lebih baik mengenai pendidikan tinggi mereka dan membantu kaunselor sekolah untuk memainkan peranan yang lebih menonjol dalam mempromosikan kursus tertiari teknologi.

"Apa yang penting, platform ini adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh negara untuk memastikan bahawa kita mempunyai bekalan bakat digital dan teknologi yang mampan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 10:37 PM