QUALCOMM bakal lancar pemproses integrasi bersama modem 5G untuk peranti kelas pertengahan dan permulaan.
Muhammad Saufi Hassan


Qualcomm menjanjikan akan mula melakukan integrasi pemproses bersama cip modem yang menyokong sambungan Internet termaju iaitu 5G bagi siri 600 hingga 700 keluaran mereka.

Pemproses daripada dua siri berkenaan adalah bagi cip untuk telefon pintar kelas pertengahan manakala bagi pemproses kelas perdana menggunakan siri 800.

Syarikat pemproses itu menyatakan cip berkenaan akan menyokong sepenuhnya jaringan 5G termasuk mampu melakukan sambungan dalam spektrum 6Ghz dan mmWave.

Pengumuman yang dibuat sempena Pameran Teknologi Eropah (IFA) di Berlin, Jerman hujung minggu lalu memberikan petanda peranti kelas pertengahan turut mampu menggunakan jaringan 5G apabila pemproses siri itu berintegrasi dengan cip modem yang turut menyokong jaringan berkenaan.

Sebelum ini, wujud khabar angin menyatakan hanya pemproses kelas perdana saja yang bakal mendapat cip modem 5G namun selepas pengumuman berkenaan, ia membuktikan Qualcomm mahu meluaskan penguasaan dalam cip mudah alih mereka.

Bermula tahun depan, Qualcomm akan melaksanakan proses integrasi pemproses dan cip modem 5G serta semua kelas peranti dapat menikmati kelajuan 5G.

Berdasarkan situasi terkini, kebanyakan telefon pintar menggunakan cip pemproses dan cip modem yang berbeza. Keadaan itu memberi kesan jangka hayat bateri peranti.

Kejayaan integrasi antara cip pemproses dan modem baru saja berjaya awal tahun ini dan dijangka beberapa telefon pintar kelas perdana bakal menggunakan pada tahun depan.

Qualcomm turut mengumumkan pemproses kelas perdana mereka daripada siri 800 akan menggunakan teknologi sama iaitu integrasi modem 5G dan akan dilancarkan secara komersial pada tahun depan.

Syarikat itu menyatakan mereka sudah mempunyai 12 pembuat peranti yang bakal menggunakan pemproses mereka iaitu LG, Oppo dan HMD Global yang mengeluarkan telefon pintar Nokia.

Mereka menjangkakan syarikat pembuatan peranti mudah alih ini akan memulakan proses penggunaan cip integrasi pada suku keempat tahun ini menerusi siri pemproses 600.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:57 AM