LG melancarkan dua peranti terbaharu miliknya yang mempunyai kekuatan tersendiri dan yakin mampu menarik perhatian umum.
Muhammad Saufi Hassan


PENGELUAR elektronik gergasi, LG Electronics (LG) minggu lalu mengumumkan pengenalan dua peranti terbaharu keluarannya iaitu LG G8XThinQ dan LG Dual Screen sempena IFA 2019 di Berlin, Jerman.

Kali pertama LG mempertontonkan peranti skrin paparan kembar iaitu di MWC 2019 di Barcelona, Sepanyol beberapa bulan lalu dan kini ia pengenalan rasmi bagi dua peranti berkenaan.

Untuk LG G8XThinQ, peranti itu menggunakan pemproses Snapdragon 855 yang dipadankan bersama memori (RAM) 6GB bagi memastikan kelancaran sebarang aplikasi terutama bagi kelas permainan.

Skrin berkeluasan 6.4 inci dengan Definisi Penuh Dipertingkatkan (FHD+) menjadi taruhan terbaharu LG untuk peranti mudah alih keluarannya yang didatangkan bersama paparan jenis OLED bagi menghasilkan tona warna lebih baik.

Peranti itu menggunakan tetapan dua lensa iaitu 12 megapixel (MP) lensa biasa dan digabungkan bersama 13MP lensa sudut ultra lebar manakala untuk kamera swafoto menggunakan lensa tunggal berkeupayaan 32MP.

Telefon pintar itu akan menggunakan sistem operasi Android 9.0 Pie dan turut dilengkapi pengimbas cap jari di bawah skrin seperti beberapa jenama peranti premium yang lain.

Storan pula mempunyai 128GB dan mampu menyokong kad memori sehingga 2TB bagi memudahkan pengguna menyimpan gambar, video dan pelbagai lagi fail.

Kapasiti bateri bagi peranti ini adalah 4,000mAh dan menyokong Qualcomm pengecasan pantas 3.0 supaya pengguna tidak perlu menunggu lama untuk pengecas penuh.

Kedua-dua peranti itu adalah taruhan terbaru LG dalam segmen pasaran mudah alih dan LG G8XThinQ mempunyai kekuatan tersendiri berbanding dengan jenama lain.

Bagi pengguna yang ingin membeli peranti itu, ia akan berada di pasaran pada suku keempat tahun ini dan akan dilancarkan secara berperingkat berdasarkan negara serta rantau tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 11:03 AM