ANIMASI adalah segmen yang semakin berpotensi.
Muhammad Saufi Hassan


INDUSTRI animasi satu ketika dulu dianggap segmen ‘sejuk’ di Malaysia berikutan tiada peluang pekerjaan yang bagus termasuk skop perluasan karier terhad atau tidak keterlaluan hampir tiada.

Namun, itu semua berlaku kira-kira dua dekad yang lalu dan kini, industri animasi semakin mendapat tempat malah sudah ada beberapa rakyat tempatan yang mengukir nama di pentas antarabangsa.

Segmen animasi ini tidak bertumpu kepada pembikinan suatu filem malah skop industri berkenaan begitu luas termasuk perkembangan sukan elektronik yang juga memerlukan bakat kreatif dalam pembinaan sesebuah judul permainan.

Kemahiran anak tempatan dalam industri berkenaan sudah diperakui dan mungkin lebih ramai lagi akan mengikuti jejak langkah seperti Ketua Pereka Permainan bagi ‘Final Fantasy XV’ iaitu Wan Hazmer dan seorang lagi yang menjadi Pereka Konsep untuk permainan ‘Street Fighter V’ iaitu Daim Dziauddin.

Negara ini tidak kurang daripada bakat industri berkenaan namun ia perlu dikembangkan lagi menerusi kerangka disiplin pembelajaran yang betul termasuk memberikan peluang pekerjaan kepada graduan yang mempunyai kemahiran ini.

Mengulas isu berkenaan, peneraju industri kreatif terkemuka yang bertugas di sebuah syarikat penerbitan permainan tersohor dunia iaitu Blizzard Entertainment, Alan Chan melihat Malaysia mempunyai potensi sangat besar untuk menjadi juara industri animasi di rantau Asia Tenggara.

Alan yang juga anak tempatan berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi ikon penting kejayaan Blizzard Entertainment menerusi beberapa judul permainan yang digilai iaitu ‘Diablo’, ‘Overwatch’ dan beberapa judul lain.

Alan berkata, Malaysia mempunyai anak muda yang sangat berbakat dalam industri animasi dan perkembangan segmen itu juga sudah semakin maju berbanding dua dekad lalu.

“Jika saya imbas kembali keadaan dua dekad lalu, industri animasi tidak begitu dikenali di negara ini sehingga memaksa saya mencari peluang pekerjaan di Amerika Syarikat (AS) dan kini semakin ramai orang melihat untuk melabur dalam

industri ini.

“Saya sangat yakin Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju dalam industri ini kerana kita mempunyai keupayaan dan bakat.

“Cuma, perkara yang perlu diberikan perhatian membangun dan mengasah bakat ini menjadi matang dan boleh digunakan sebagai tenaga kerja pakar untuk industri berkenaan pada masa depan,” katanya kepada #ITMETRO, baru-baru ini.

Alan berkata, usaha kerajaan untuk mempromosikan industri berkenaan menerusi beberapa projek perlu diberikan galakan dan pujian kerana tidak banyak negara di rantau ini yang memberi perhatian kepada segmen berkenaan secara serius.

Sejak 2018, industri animasi di Malaysia membawa pendapatan RM7.46 bilion dengan jualan eksport global RM1.3 bilion. Ia secara tidak langsung mewujudkan lebih 10,000 peluang kerja mahir berkaitan kandungan digital serta industri teknologi kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 11:30 AM