SISTEM operasi HarmonyOS tawar pengalaman lebih baik dan memberi kemudahan kepada pembangun aplikasi.
Muhammad Saufi Hassan


SEBELUM Sebelum ini, khabar angin menyatakan besar kemungkinan Huawei bakal menggunakan sistem operasi mereka sendiri dikenali sebagai ‘HarmonyOS’ untuk menggantikan sistem Android selepas berlaku sekatan urus niaga akibat keputusan pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, umum tidak mengetahui secara terperinci berhubung bentuk dan ekosistem sistem operasi baharu yang mungkin digunakan Huawei.

Menerusi acara Persidangan Pembangun Huawei (HDC) 2019, syarikat itu menjelaskan sistem operasi itu bukan baru dilaksanakan sebaliknya pembangunannya sudah dijalankan beberapa tahun lalu iaitu sebelum krisis bersama Google dan AS.

Sistem operasi itu turut dikenali sebagai HongMeng di China namun Huawei memperkenalkan nama baharu bagi pasaran antarabangsa dengan nama Harmony.

Huawei mengatakan Harmony OS adalah sistem operasi pertama berasaskan kepada kernel-mikro dan ia sistem operasi pertama yang boleh menawarkan pengalaman selari pada pelbagai variasi peranti tanpa perlu melakukan sambungan untuk setiap peranti.

Syarikat itu turut mengatakan sistem operasi ini bersifat optimum untuk berjalan lebih lancar dan pantas berbanding sistem operasi lain yang digunakan secara meluas di pasaran.

Huawei turut memperlihatkan HarmonyOS menawarkan prestasi lebih lancar berbanding sistem Fuchsia yang bakal hadir daripada Google.

Harmony OS juga akan membolehkan pengguna membangunkan aplikasi secara mudah dengan melakukan pembentukan kod tunggal dan sistem operasi itu akan melakukan optimasi automatik untuk semua platform.

Infrastruktur pembinaan aplikasi bagi sistem operasi sedia ada memerlukan pembangun membentuk dua kod iaitu untuk peranti mudah alih konvensional dan platform terkini.

Keadaan itu jelas memberi masalah kepada pembangun dan HarmonyOS adalah sistem yang bersifat mesra pembangun dan ia akan melakukan tugasan optimasi sendiri untuk pelbagai bentuk.

Subjenama Huawei iaitu Honor akan menjadi pengeluar pertama berasaskan HarmonyOS secara rasminya dan ia akan memperlihatkan keupayaan sistem berkenaan.

Sistem operasi HarmonyOS akan ditawarkan dalam bentuk sumber terbuka sekali gus memberi peluang kepada pembangun untuk menikmati sistem itu dengan lebih baik berdasarkan platform sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:10 PM