PENGGUNAAN kurang hadapi masalah prestasi menjadi kunci kekuatan jenama Apple.
Muhammad Saufi Hassan


TELEFON pintar kerap mengalami gangguan seperti mudah panas, prestasi aplikasi tersangkut atau mungkin secara tiba-tiba peranti tidak beroperasi.

Itu antara beberapa petanda versi sistem operasi milik pengguna tidak lagi mampu menyokong spesifikasi peranti yang mungkin sudah ketinggalan.

Ia kerap berlaku bagi pengguna Android dan berdasarkan satu kajian menunjukkan jangka usia sistem operasi Android untuk sesebuah peranti mampu bertahan 24 bulan atau 36 bulan secara maksimum sebelum prestasinya merosot.

Berbeza keadaannya bagi sistem operasi keluaran Apple iaitu iOS yang jarang sekali mengalami masalah berkenaan, malah dikategorikan sebagai yang terbaik walaupun peranti digunakan mungkin sudah berusia lebih dua tahun.

Sistem operasi sesebuah peranti menjadi nadi utama atau lebih tepat sebagai ‘pusat saraf’ utama yang menerima maklumat dan melakukan pemprosesan sebelum menghantarnya kepada komponen lain.


IPHONE 11 Pro dan 11 Pro Max menggunakan pemproses jenis ini untuk peningkatan kuasa prestasi.

Bagi sistem operasi atau disebut juga ‘OS’ untuk segmen desktop banyak dikuasai oleh Windows, manakala bagi peranti mudah alih, Android kekal menguasai perkongsian pasaran dunia.

Bagaimanapun, penguasaan sistem operasi dalam sesuatu segmen tidak membuktikan a mereka memiliki sistem terbaik cuma ia sistem digunakan oleh sebilangan pengguna yang besar.

Minggu ini, #ITMetro akan menyentuh aspek sistem operasi bagi peranti mudah alih kerana segmen berkenaan adalah paling dekat dengan pengguna dan boleh dikatakan hampir semua peringkat umur memiliki telefon pintar mereka sendiri bermula dari remaja sehingga kepada jawatan profesional.

Dua sistem operasi yang mendominasi segmen peranti mudah alih adalah Android dan satu lagi dimiliki Apple yang dikenali sebagai iOS.

Jika dibandingkan secara bersebelahan daripada sudut angka, sudah pasti Android memiliki peratusan perkongsian pasaran tinggi namun itu tidak menjamin a sistem berkenaan yang terbaik.

Berdasarkan statistik perkongsian pasaran untuk peranti mudah alih bagi tempoh sehingga September tahun ini, Apple memiliki 22.48 peratus dan lebih menarik sistem operasi iOS ini adalah yang terbaik kerana tidak mempunyai banyak masalah.


Pemproses Apple A13 Bionic memiliki prestasi sangat baik.

Kini, Apple sekali lagi barisankan produk baharu mereka iaitu iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max yang dikuasakan dengan pemproses A13 Bionic.

Berdasarkan statistik dan pengujian asas yang dilakukan beberapa pihak menunjukkan bahawa pemproses ini jauh lebih baik berbanding beberapa pengeluar lain termasuk Qualcomm Snapdragon.

Maka, tidak hairanlah kejayaan syarikat Apple sejak beberapa lama dengan pengeluaran peranti dan sistem operasi yang sangat ringan lagi licin menjadi kekuatan serta pilihan utama pengguna.

Menerusi pemproses generasi baharu milik Apple itu juga, pengalaman permainan mudah alih sudah sangat berbeza apabila cip berkenaan mampu melakukan penjimatan bateri namun mengekalkan prestasi pada tahap optimum.

Peranti yang menggunakan sistem operasi iOS kurang menghadapi masalah prestasi jika dibandingkan dengan Android dan ini adalah kunci kekuatan jenama Apple kerana sering memberikan keutamaan kepada pengalaman kepenggunaan kepada penggunanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 9:32 AM