CALL of Duty: Mobile boleh dimuat turun bagi Android dan iOS bagi Apple.
Muhammad Saufi Hassan


SELEPAS 14 hari Call of Duty: Mobile (COD:M) dilancarkan, permainan itu sudah mencatatkan jumlah muat turun lebih 100 juta membabitkan dua platform sistem operasi terbesar iaitu Android dan iOS bagi Apple.

Berdasarkan laporan sebuah firma pemantauan menyatakan bahawa minggu pertama permainan itu dilancarkan memperlihatkan jumlah muat turun mencecah 90 juta menewaskan permainan Mario Kart Tour.

Pengguna daripada sistem operasi iOS memuat turun permainan itu melebihi 55.7 peratus manakala pengguna Android sebanyak 44.3 peratus.

Permainan itu menampilkan beberapa mod permainan antaranya ‘Team Deathmatch’, pertempuran beramai-ramai (Battle Royale) dan beberapa mod lain.

Siri Call of Duty: Modern Warfare 2019 untuk platform bukan mudah alih akan dilancarkan pada 25 Oktober ini dan sambutan hangat bagi siri mudah alih berkenaan memperlihatkan kejayaan besar untuk siri COD.

Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jumlah pemain paling tinggi dengan 17.3 juta pengguna secara keseluruhan diikuti India sebanyak 13.7 juta.

Sehingga kini, permainan COD:M itu sudah memperoleh keuntungan kira-kira RM68 juta apabila pemain membeli peralatan di dalam permainan sekali gus menjadikan jumlah keuntungan setiap muat turun adalah sekitar RM1.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:40 PM