GOOGLE ambil alih Fitbit.
Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT gergasi, Google secara rasmi sudah mengambil alih syarikat peranti boleh pakai iaitu Fitbit pada harga kira-kira RM8 bilion sekali gus menambah polisi perniagaan mereka susulan pengambilalihan berkenaan.

Sebelum ini, wujud khabar angin menyatakan bahawa Google akan mengambil alih sebuah syarikat yang mengeluarkan peranti boleh pakai dan awal minggu ini, syarikat berkenaan adalah Fitbit.

Pengambilalihan itu akan memberi ruang kepada Google untuk menghasilkan peranti boleh pakai menerusi jenama mereka sendiri iaitu ‘Made By Google’ sekali gus memperluaskan penggunaan sistem operasi (OS) WearOS.

Pada masa sama, syarikat Fitbit turut mengelaurkan kenyataan rasmi berhubung pengambilalihan berkenaan oleh Google dan mereka turut menegaskan semua data pengguna sedia ada adalah selamat.

Ia berikutan wujud dakwaan segelintir pihak bahawa data peribadi pengguna akan digunakan oleh Google untuk tujuan pengiklaanan namun perkara itu sudah dinafikan oleh Fitbit dalam kenyataan mereka.

Google sebelum ini sudah memperkenalkan jenama ‘Google Wear’ untuk peranti boleh pakai keluaran mereka sebelum syarikat itu melakukan penjenamaan semula dan dikenali sebagai WearOS.

Tindakan Google dalam pengambilalihan berkenaan adalah bertujuan untuk kembali ke segmen peranti boleh pakai apabila jenama berkenaan kurang mendapat sambutan daripada pengguna.

Berdasarkan maklumat perkongsian pasaran untuk peranti boleh pakai keluaran IDC menunjukkan bahawa Fitbit menduduki tangga kelima dengan pegangan 5.9 peratus bagi suku pertama tahun ini.

Pendahulu segmen berkenaan adalah Apple dengan jumlah perkongsian sebanyak 25.8 peratus, tempat kedua Xiaomi (13.3 peratus) dan ketiga Huawei (10 peratus).

Secara strategiknya, Google mahu memperkasakan segmen peranti boleh pakai mereka dengan pengambilalihan syarikat Fitbit dan ia adalah langkah bijak untuk jangka panjang.

Google mahu memberi persaingan kepada Apple menerusi barisan peranti boleh pakai mereka dan dalam jangka panjang, Google berharap dapat memberi saingan sekali gus cuba mendominasi segmen itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 5:33 PM