PENGGUNA boleh melawat enam kawasan menggunakan 'Palestine VR' .
Muhammad Saufi Hassan


SEBUAH pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palestin melancarkan aplikasi pintar yang membolehkan pengguna melawat negara itu termasuk salah satu masjid paling suci bagi umat Islam, Masjidil Aqsa secara realiti maya.

Institut Diplomasi Awam Palestin (PPID) melancarkan aplikasi berkenaan yang boleh dimuat turun dalam dua platform utama iaitu Android menerusi PlayStore dan App Store milik Apple.

Menerusi aplikasi yang dikenali sebagai 'Palestine VR' berkenaan, pengguna boleh melawat enam kawasan.

Ia membabitkan Baitulmaqdis, Hebron, Bandar Gaza, Baitul Laham dan beberapa tempat lain.

Aplikasi berkenaan bertujuan untuk memberi lebih pendedahan kepada semua komuniti antarabangsa realiti kehidupan di Palestin dan ia adalah kaedah interaktif.

Pengguna bukan saja boleh melihat beberapa kawasan tumpuan di negara berkenaan sebaliknya melawat secara maya Masjidil Aqsa menggunakan teknologi realiti maya.

Pelancaran aplikasi itu baru-baru ini oleh PPID diharap dapat memberikan kesan positif kepada penduduk Islam di Palestin dan menyelami kesukaran kehidupan mereka.

Seorang jurucakap PPID dalam satu laporan portal menyatakan bahawa sebelum ini, ramai orang melihat dalam bentuk visual, gambar atau artikel berita saja.

Menurutnya, aplikasi itu akan memberi pengalaman yang berbeza seolah-olah mereka berada di Palestin dan melihat dengan 'mata' mereka sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 4:01 PM