Muhammad Saufi Hassan


PENGELUAR dron awam terkemuka, DJI hari ini melancarkan produk terbaru mereka iaitu DJI Mavic Mini yang mempunyai berat 249 gram saja.

Pengarah Komunikasi dan Pemasaran Global DJI Kevin On berkata, DJI Mavic Mini direka khusus untuk mereka yang gemar melakukan penggambaran di luar tanpa perlu membawa pelbagai peralatan yang berat.

"Mavic Mini adalah satu manifestasi teknologi terkini kerana ia bukan saja ringan malah turut dilengkapi ciri khusus bagi menjamin keselamatan ketika penerbangan.

"Dron ini dilengkapi dengan kamera 2.7K tiga penjuru tuas imbangan (gimbal) supaya memberikan kestabilan video ketika rakaman dilaksanakn.

"Mavic Mini ini juga berkeupayaan untuk penerbangan selamat 30 minit dan mampu untuk menghantar suapan video dalam definisi tinggi pada jarak empat kilometer (km)," katanya ketika pelancaran DJI Mavic Mini, sebentar tadi.



Kevin berkata, dron ini juga amat mudah untuk diterbangkan bagi individu pertama kali kerana ia dilengkapi dengan tatacara penerbangan, tips serta beberapa panduan mudah.

Pakej biasa untuk DJI Mavic Mini dijual pada harga RM1,599 dan ini termasuk alat kawalan, satu pek bateri, kipas gantian dan beberapa peralatan lain.

Untuk pakej kombo pula, ia dijual pada harga RM1,999 dan didatangkn dengan semua peralatan pakej biasa serta turut dilengkapi dengan sangkar kipar 360 darjah, alat pengecas dua hala, dua pek bateri tambahan, tiga set kipas gantian dan beg.

DJI Mavic Mini akan memasuki pasaran tempatan bulan depan dan bagi pengguna yang melakukan pra tempahan, proses penghantaran dilaksanakan pada minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 12:11 PM