KEUPAYAAN grafik yang sangat baik menjadikan judul berkenaan sangat berjaya.
Muhammad Saufi Hassan


PERMAINAN yang memaparkan konsep dunia ‘koboi’ sebelum ini dilancarkan bagi platform konsol, PlayStation 4 (PS4) dan baru-baru ini, judul ‘Red Dead Redemption 2’ (RDR2) menemui peminatnya bagi versi desktop.

Apa yang menarik, RDR2 memerlukan keupayaan perkakas desktop yang tinggi untuk memastikan pemain dapat merasai kesan grafik optimum bagi judul berkenaan.

Berdasarkan pemerhatian, penulis melihat siri RDR2 adalah permainan yang memerlukan keupayaan perkakas komputer yang sangat baik jika anda mahu meletakkan atur cara pada tahap tertinggi atau ultra (high setting).

Penulis menggunakan kad grafik keluaran Advanced Micro Devices (AMD) iaitu siri RX 5700XT dan skrin paparan atau monitor mampu untuk memaparkan resolusi 4K.

JUDUL Red Dead Redemption 2 dilancarkan untuk versi desktop selepas dilancarkan bagi konsol beberapa bulan lalu.

Jadi sudah pastilah penulis mahu atur cara grafik permainan pada tahap tertinggi supaya dapat melihat sendiri kesan grafik yang sangat baik untuk judul berkenaan.

Keupayaan kad grafik RX 5700XT dalam permainan itu begitu baik apabila ia boleh memaparkan resolusi 4K dengan bacaan bingkai sesaat (FPS) yang baik iaitu berapa pada tahap di atas bacaan 60FPS.

Kad grafik keluaran AMD ini didatangkan dengan ciri khusus iaitu sokongan DirectX 12 dan teknologi Vulkan yang membolehkan kesan grafik dioptimumkan.

Menyentuh konsep permainan RDR2, siri ini tidak lagi perlu diperkenalkan kerana ia antara judul permainan yang dinanti-nanti bagi platform konsol.

RDR2 bukan saja membawakan kesan grafik yang sangat baik malah jalan penceritaan dalam mod kempen juga begitu memberangsangkan dan tidak statik.

PEMAIN akan melengkapkan misi dalam mod kempen dan ia turut menggunakan konsep dunia terbuka.

Jika anda mahu merasai suasana koboi dan mungkin mahu melihat latar masa beberapa nama penting dalam era ‘Wild Wild West’ seperti Jesse James, Billy The Kid, Wild Bill Hickok atau Doc Holiday, judul RDR2 mungkin jawapannya.

Siri permainan ini juga dilengkapi misi tertentu dan pemain boleh menaiki kuda, menggunakan pistol koboi, senapang patah dan pertempuran dengan geng lain.

Secara keseluruhannya, judul RDR2 memerlukan keupayaan grafik yang tinggi dan jika pemain mahu merasai kesan grafik yang baik, perlu memastikan resolusi skrin paparan mampu menyokong sekurang-kurangnya 2K atau paparan 4K untuk pengalaman sebenar.

Kesan grafik yang ditampilkan dalam judul ini begitu baik dan terperinci termasuk perubahan cuaca membuatkan ia satu judul yang dianggap paling berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 November 2019 @ 8:37 AM