WATAK mitos bagi empat negara iaitu Malaysia, Thailand, Vietnam dan Taiwansesuai dengan kehendak pemain.
Muhammad Saufi Hassan


JUDUL permainan bagi genre Permainan Aksi Karakter (ARPG) keluaran Marvel iaitu ‘MARVEL Future Fight’ dilancarkan empat tahun lalu dan ia antara permainan genre ARPG paling popular.

Sehingga kini permainan itu mempunyai lebih 70 juta pemain dan judul berkenaan popular dengan beberapa karakter adiwira menggunakan label Marvel seperti Captain America, Iron Man dan Thor.

Terbaharu, penerbit permainan itu memperkenalkan karakter adiwira untuk rantau Asia dan Asia Tenggara membabitkan Malaysia, Thailand, Vietnam serta Taiwan.

Keempat-empat negara berkenaan sudah mempunyai karakter adiwira sendiri dan ia boleh dikenali menerusi cara pemakaian watak berkenaan atau senjata digunakan.

Produser Kanan Permainan Marvel, Danny Koo berkata, pihaknya sangat gembira dengan watak baharu yang dikaitkan dengan empat negara di Asia Tenggara.

Menurutnya, penampilan karakter tempatan itu perlu untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pemain dan mereka boleh merasai hero selain watak utama Marvel.

“Judul Marvel Future Fight ini terus berkembang saban tahun dan kita sudah mencatatkan puluhan juta pemain. Angka itu terus meningkat sehingga ke hari ini.

“Pembangun permainan ini iaitu Netmarble sudah melakukan tugas yang amat baik dan kini kami mahu memberikan kandungan yang unik serta dekat dengan pemain.

“Saya bangga dengan pencapaian kami dan kerjasama dengan Marvel. Kami juga mahu memberikan lebih banyak kandungan unik sesuai dengan kehendak pemain,” katanya.

Empat karakter itu adalah ‘Sun Bird’ dari Malaysia, ‘War Tiger’ (Thailand), ‘Blue Dragon’ (Vietnam) dan ‘Shadow Shell’ (Taiwan).

Setiap karakter mempunyai kelebihan masing-masing sesuai dengan cara permainan pemain.

Untuk Sun Bird, karakter ini berasaskan kepada kelas ‘healer’ dan dilengkapi dua bilah keris serta berkeupayaan melakukan markah kerosakan yang tinggi.

Bagi War Tiger pula, karakter ini dalam kelas gempur dan dilengkapi pedang sebagai senjata manakala Blue Dragon menggunakan ketangkasannya sebagai senjata utama untuk menewaskan musuh.

Watak Shadow Shell menggunakan senjata moden seperti raifal untuk menewaskan musuh dan beberapa keupayaan unik yang lain.

Danny berkata, keempat-empat watak baharu itu adalah berasaskan kepada karakter mitos di empat negara berkenaan dan pihaknya cuba untuk menyesuaikan dengan latar permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:01 AM