Muhammad Saufi Hassan


SEMPENA ketibaan sekuel terbaharu filem Star Wars : The Rise of Skywalker pada 20 Disember nanti, Samsung mengumumkan pelancaran edisi khas Galaxy Note 10+ yang menampilkan tema filem berkenaan.

Samsung bukan saja menampilkan ciri unik pada fizikal peranti mereka tetapi turut melakukan pengubahsuaian mengikut tema dan ia termasuk beberapa ciri khusus seperti ikon aplikasi, bunyi serta animasi.

Peminat filem berkenaan pastinya tidak mahu melepaskan edisi terhad Galaxy Note 10+ berkenaan dan edisi itu juga mendapat kemasan berwarna hitam merah sesuai dengan tema filem itu.

Pengguna yang membeli edisi khas itu akan mendapat stylus S Pen berwarna merah serta fon telinga tanpa wayar Galaxy Buds, kerangka peranti dan logo Star Wars.

Edisi khas berkenaan dijual di beberapa negara terpilih pada harga sekitar RM5,400 membabitkan Australia, Denmark, Finland, Perancis, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Berdasarkan pemerhatian, peranti berkenaan menampilkan watak Star Wars dan tema hitam merah adalah padanan kepada tema filem berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 3:28 PM