SAMSUNG Galaxy S11.
Muhammad Saufi Hassan


PERANTI kelas premium terbaharu Samsung yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan sudah tertiris dengan penampilan lima lensa atau sensor.

Imej berkenaan dipercayai tertiris beberapa hari lalu menerusi format rekaan CAD untuk peranti premium siri Galaxy S11 yang dijadualkan akan dilancarkan sekitar Mac depan.

Berdasarkan imej rekaan itu, siri Galaxy S11 meletakkan lima sensor dan satu flash di dalam bonjol kamera berbentuk segi empat tepat.

Ia juga mirip kepada bonjolan kamera yang digunakan oleh Apple menerusi siri iPhone 11 mereka dan jika imej berkenaan tepat, ia menjadikan siri Galaxy S pertama menggunakan rekaan di bahagian bucu.

Menerusi rekaan peranti siri Galaxy S terdahulu, Samsung meletakkan kamera secara melintang di bahagian tengah belakang peranti.

Samsung juga dipercayai akan melakukan beberapa pengubahsuaian antaranya butang kuasa yang juga butang aktivasi Bixby dipindahkan ke sebelah sisi kanan.

Peranti itu menggunakan pengecas jenis USB-C dan audio. Bagaimanapun, ia hanya imej CAD saja dan masih berbaki beberapa bulan lagi, pastinya Samsung mahu menjadikan siri Galaxy S mereka begitu berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 12:21 PM