KERANGKA pintar ini dilengkapi dengan butang khas untuk mengambil gambar.
Muhammad Saufi Hassan


PERANTI keluaran Apple sememangnya memiliki kualiti mengagumkan bukan saja daripada aspek kelancaran sistem operasi yang dikuasakan iOS malah jangka hayat bateri yang sangat baik.

Apple kali ini memperkenalkan kerangka bateri pintar (Smart Battery Case) yang mampu menambahkan lagi kapasiti bateri sedia ada.

Kerangka itu juga menawarkan bateri terbina di dalamnya dan akan sentiasa mengecas peranti sehingga bateri terbina di dalam kerangka berkenaan habis digunakan.

Selepas itu, sistem operasi peranti akan menggunakan bateri peranti dan ia sangat sesuai untuk individu yang sentiasa bergerak dan malas untuk membawa bank kuasa.

Menyentuh aspek prestasi hayat bateri kerangka itu, Apple menerusi satu kenyataannya menyatakan bahawa kerangka itu dapat menambah sebanyak 50 peratus jangka hayat bateri.

Kerangka pintar ini dilengkapi dengan butang khas untuk mengambil gambar dan ia juga menyokong fungsi pengecas tanpa wayar dan sambungan pengecas jenis USB-PD.

Smart Battery Case ini boleh didapati dalam pilihan warna White, Black dan Pink Sand untuk model iPhone 11 Pro dan Pro Max.

Tanda harga yang ditawarkan bagi semua pilihan warna adalah RM539 dan ia sudah berada di pasaran atau pengguna boleh mengunjungi mana-mana kedai rangkaian penjual sah Apple.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 1:41 PM