TABLET Galaxy Tab S6 yang mempunyai sistem operasi Android mempunyai jangka hayat bateri panjang dan sesuai untuk individu sentiasa bergerak.
Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA masa kini sangat mementingkan peranti mudah alih yang mampu melakukan tugasan seperti komputer riba, ringan untuk dibawa dan mempunyai jangka hayat bateri yang baik.

Ringkasnya, pengguna lebih mementingkan peranti yang menyumbang kepada produktiviti tugasan harian dan peranti mudah alih dalam kelas tablet semakin mendapat tempat menggantikan laptop bagi tugasan bersifat tidak kompleks.

Tablet yang menggunakan sistem operasi Android tidak banyak berada di pasaran dan Samsung kali ini menampilkan tablet Galaxy Tab 6 yang mempunyai spesifikasi yang sangat baik untuk menggalas sebarang kepelbagaian tugas.

Secara keseluruhannya, penulis mendapati tablet Galaxy S6 ini sangat sesuai untuk tugasan produktiviti selain kelajuan prestasinya yang sangat mengagumkan.

Galaxy Tab S6 mempunyai skrin 10.5 inci dengan pemproses kelas tinggi keluaran Qualcomm iaitu Snapdragon 855 yang menggunakan teknologi binaan pemproses termaju iaitu 7nm.

Pemproses berkenaan dipadankan bersama keupayaan memori menerusi dua versi iaitu 6GB serta 8GB untuk memastikan kelancaran tatkala pengguna membuka sebarang aplikasi dan kepelbagaian tugasan bagi satu-satu masa.

Paparan tablet ini menggunakan Super AMOLED sesentuh bersama resolusi 1,600 x 2,560 piksel yang menggunakan sistem operasi Android versi 9.0.

Samsung Galaxy Tab S6 didatangkan dengan dua versi berbeza iaitu bagi storan 128GB mempunyai padanan RAM 6GB manakala bagi storan 256GB dipadankan bersama 8GB RAM.

Pengguna juga boleh melakukan penambahan storan kerana peranti mudah alih ini menyokong kad mikroSD sehingga 1TB untuk memberi lebih ruang kepada pengguna menyimpan dokumen, video, gambar atau fail penting.

Ciri lain yang turut dilengkapi untuk Galaxy Tab S6 ini adalah sistem imbasan keselamatan biometrik jari yang memberi jaminan kepada pengguna bahawa data atau fail yang tersimpan di dalam peranti adalah selamat.

Ia juga mempunyai kapasiti bateri 7,040 serta keupayaan pengecas pantas 15W untuk memudahkan pengguna membawa tablet tanpa perlu menunggu tempoh pengecasan bateri yang panjang.

Penulis menggunakan peranti ini untuk tugasan produktiviti dan ia sangat baik daripada aspek prestasi kelajuan dan dilengkapi dengan pen pintar.

Pengguna hanya perlu membeli papan kekunci tambahan untuk tablet ini supaya memudahkan tugasan dan bateri peranti ini mampu bertahan lebih seharian walaupun sudah menggunakan secara maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 10:03 AM