GAMBAR HIASAN
Muhammad Saufi Hassan


SISTEM pesanan paling popular, Whatsapp mengumumkan akan menghentikan sokongan kepada peranti lama yang menggunakan sistem operasi Android ataupun Apple, iOS.

Syarikat milik Facebook berkenaan mengumumkan perkara itu menerusi kiriman terbarunya di dalam blog milik mereka awal pagi tadi.

Kenyataan itu juga menyatakan bahawa pemberhentian operasi sokongan Whatsapp kepada peranti lama yang menggunakan versi sistem operasi terdahulu adalah berpunca daripada risiko keselamatan.

Pelbagai versi untuk sistem operasi Android, iPhone dan peranti menggunakan sistem Windows akan terkesan dengan keputusan berkenaan dan langkah itu akan dilaksanakan pada akhir 1 Februari 2020.

Bagi pengguna iPhone, aplikasi berkenaan tidak akan boleh digunakan untuk peranti yang menggunakan sistem operasi iOS 8 dan sebelumnya iaitu telefon pintar yang diperkenalkan oleh Apple pada 2014.

Ini bermakna pengguna iPhone 6 dan model terbaru boleh menarik nafas lega kerana peranti mereka masih boleh menggunakan aplikasi berkenaan.

Menurutnya, Whatsapp mencadangkan kepada pengguna untuk mendapatkan versi terbaru sistem operasi mereka supaya tidak berdepan dengan sebarang masalah.

“Peranti Android yang menggunakan versi sebelum 2.3.3 yang turut dikenali sebagaai Gingerbread akan terkesan dengan langkah terbaru Whatsapp itu.

“Langkah pengguna untuk melakukan semakan akaun bagi sistem lama akan mengakibatkan akaun mereka disekat sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Versi Android Gingerbread dilancarkan pada 2010 dan pemilik peranti versi lama ini tidak akan dapat menikmati perkhidmatan Whatsapp tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 2:32 PM