KAD grafik keluaran MSI menawarkan prestasi yang agak baik dan siri RX 5700 XT mampu beroperasi dalam resolusi 2K serta 4K.
KAD grafik keluaran MSI menawarkan prestasi yang agak baik dan siri RX 5700 XT mampu beroperasi dalam resolusi 2K serta 4K.
Muhammad Saufi Hassan


PEMILIHAN kad grafik sangat penting sama ada digunakan untuk kelas permainan, sintesis imej serta animasi atau digunakan untuk stesen kerja.

Kelaziman sebelum ini adalah pengguna kebanyakan memilih kad grafik keluaran Nvidia kerana dikatakan menawarkan prestasi lebih baik namun persepsi itu semakin berubah.

Pencabar mereka yang juga pengeluar pemproses terkemuka, Advanced Micro Devices (AMD) memperkenalkan rekaan Unit Pemproses Grafik (GPU) dengan kod nama Navi dan ia sudah menunjukkan ‘trend’ perubahan dalam kalangan pengguna.

Hasil daripada pengenalan rekaan itu, kad grafik generasi baharu iaitu RX 5700 diperkenalkan dan ia mempunyai dua variasi iaitu AMD RX 5700 dan RX 5700 XT.

MSI antara beberapa jenama yang menawarkan prestasi terbaik untuk perkakasan kelas permainan dan penulis mencuba kad grafik keluaran MSI menerusi siri produk Mech OC.

Kad grafik ini dilengkapi plat belakang dan dua kipas besar untuk memastikan tahap penyejukan paling optimum biarkan digunakan dalam tempoh panjang.

Punca kuasa untuk kad ini adalah lapan pin dan enam pin memandangkan ia dikategorikan sebagai kad grafik berprestasi tinggi serta memerlukan kuasa masuk yang agak tinggi.

Pengguna boleh melakukan talaan prestasi menerusi perisian khusus MSI yang dikenali sebagai ‘MSI Afterburner’ dan perisian itu memberi kebebasan kepada pengguna untuk mengubah suai sebarang tetapan prestasi.

Menyentuh aspek prestasi, AMD RX 5700 XT boleh dibanggakan apabila menewaskan pencabar Nvidia menerusi siri RTX 2060 Super dan hampir menyamai RTX 2070 Super.

Menerusi ujian bingkai sesaat (FPS) bagi resolusi 1080p untuk judul Metro Exodus dalam mod DX12 memperlihatkan RX 5700 XT berada di tangga kedua dengan bacaan 70 FPS manakala RTX 2070 Super pada tempat pertama dengan bacaan 77 FPS.

Variasi RX 5700 juga begitu hampir dengan prestasi RTX 2060 Super dan cuma mempunyai perbezaan prestasi sekitar dua hingga lima peratus saja.

Ujian untuk resolusi 2K iaitu 1440p memperlihatkan kedudukan masih sama iaitu AMD RX 5700 XT di tempat kedua manakala RTX 2070 Super masih di tangga pertama dengan perbezaan FPS sekitar empat mata.

Resolusi 4K juga menunjukkan bacaan yang sama dan ini menunjukkan RX 5700 XT berjaya merapatkan jurang prestasi dengan kad pesaing mereka iaitu Nvidia.

Pengenalan rekaan GPU Navi oleh AMD juga dilihat sangat berjaya dan Nvidia pastinya tidak berada dalam keadaan selesa untuk tahun depan memandangkan AMD akan terus mempergiatkan penyelidikan untuk menghasilkan kad baharu yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Disember 2019 @ 9:31 AM