MARVEL Super War boleh dimuat turun di dua platform mudah alih.
Muhammad Saufi Hassan


JUDUL Permainan Pertempuran Arena (MOBA) versi mudah alih sangat popular dalam kalangan pemain kerana ia menonjolkan satu konsep permainan yang mudah iaitu mana-mana pasukan yang berjaya memusnahkan 'Ancient' akan menjadi pemenang.

Untuk konsep permainan ini, peta MOBA juga mudah untuk dihafal iaitu mempunyai tiga laluan bermula daripada laluan atas, tengah dan bawah manakala pemain perlu memilih laluan berdasarkan kepada komunikasi bersama pasukan termasuk keupayaan karakter pilihan mereka.

Setiap karakter mempunyai kelas tersendiri antaranya 'Tank' yang mempunyai hit nyawa yang tinggi namun kurang daripada aspek mata serangan, 'Fighter', 'Marksman', 'Support' dan beberapa kelas yang lain.

Menerusi judul permainan keluaran Marvel yang terbaru, 'Marvel Super War' turut menggunakan konsep permainan yang sama seperti judul lain dan pemain berpeluang menggunakan karakter hero seperti Iron Man, Thor, Hawk Eye, Captain Amerika dan banyak lagi yang boleh dibuka menerusi pembelian.

Marvel Super War menggunakan mekanikal permainan sama seperti judul MOBA yang lain namun keunikan terletak kepada skil karakter adalah sangat mirip dengan hero Marvel.

Contohnya, jika pemain memiliki Hawk Eye, kebanyakan gaya gerakan karakter hero itu adalah sama seperti yang ditonjolkan di dalam filem dan setiap hero mempunyai empat skil utama termasuk satu kemahiran mega.

Permainan itu sudah dilancarkan pertengahan Disember ini dan kini mempunyai jutaan muat turun menerusi dua platform peranti mudah alih utama iaitu Android menerusi Google Play atau Apple, iOS.

Ciri kesan grafik yang ditonjolkan juga tidak begitu mengecewakan dan pemain boleh memilih tiga tetapan grafik bermula daripada tetapan rendah, sederhana dan tinggi mengikut peranti masing-masing.

Jika pengguna memiliki peranti kelas awal atau pertengahan, penulis mencadangkan supaya memilih tetapan rendah sehingga sederhana saja untuk menjimat bateri serta melicinkan prestasi tanpa sebarang masalah.

Peranti kelas premium boleh melakukan tetapan tinggi memandangkan telefon pintar mereka mempunyai spesifikasi yang menyokong kepada tetapan berkenaan.

Secara keseluruhannya, Marvel Super War menampilkan konsep permainan yang sama seperti judul MOBA yang lain namun mempunyai kekuatan daripada aspek pemilihan karakter hero.

Penulis juga berharap pembangun permainan itu meningkatkan keupayaan kesan grafik memandangkan ia tidak terlalu baik dan tidak juga terlalu teruk.

Kebanyakan peranti premium atau sederhana pada masa kini mampu menyokong tetapan tinggi dan berharap Marvel Super War tampil dengan kesan grafik yang boleh dibanggakan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 9:15 AM