Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT telekomunikasi terkemuka, Maxis menjalinkan kerjasama dengan Huawei Technologies Malaysia (Huawei) untuk membangunkan bandar teknologi (TechCity) pertama di negara ini yang berasaskan kepada inovasi jaringan 5G.

Kerjasama itu termeterai selepas dua syarikat gergasi berkenaan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu pejabat Huawei di Shenzhen, China, hari ini.

Persefahaman itu termeterai bagi membangunkan serta meneroka Program Bandar Teknologi di Kuala Lumpur yang menampilkan sokongan kepada jaringan telekomunikasi generasi kelima, 5G.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua syarikat berkenaan akan memberikan perkhidmatan 4G dan 5G sekali gus memberikan pengalaman yang menakjubkan kepada pengguna.

Program TechCity adalah inisiatif untuk membangunkan jaringan 5G yang baik sekali gus menjadi model baru untuk konsep perniagaan masa depan termasuk memberikan pengalaman berharga buat pengguna.

Program itu juga memperlihatkan dua syarikat berkenaan akan melakukan kerjasama daripada aspek penjenamaan serta kajian khusus untuk 5G.

Huawei sebelum ini sudah melancarkan Program TechCity mereka di beberapa lokasi terkemuka dunia antaranya di London, United Kingdom, LGU+ di Seoul, Korea Selatan dan Softbank di Tokyo, Jepun.

Pengerusi Huawei, Guo Ping berkata, menerusi kerjasama bagi Program TechCity berkenaan bakal memberi faedah besar buat semua pihak.

“Hasil inisiatif ini, kita dapat mewujudkan satu penyelesaian untuk rangkaian 5G berasaskan kepada keperluan domestik.

“Malaysia bakal berubah melalui proses transformasi ke arah negara migrasi teknologi dan menjadi pendahulu inovasi 5G kelak.

“Kerjasama antara Huawei dan Maxis ini akan membawa idea inovasi kepada tahap yang lebih tinggi serta memberikan pengalaman lebih baik termasuk jaringan rangkaian lebih efisien,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 12:09 AM