ConceptD 500 mampu melakukan tugasan dengan kadar waktu pantas.
Muhammad Saufi Hassan


DESKTOP menjadi perlahan, melambatkan tugasan sintesis atau kes paling teruk apabila set komputer tiba-tiba menunjukkan laporan kritikal dan tidak boleh meneruskan tugasan sintesis.

Itu mungkin satu situasi biasa jika anda seorang produser, video editor atau penyedia kandungan apabila memiliki set desktop yang mempunyai spesifikasi yang tidak bersesuaian dengan tugasan harian.

Akibatnya, anda akan menghabiskan masa dengan menunggu proses sintesis video selama berjam-jam atau ada yang mencapai 13 jam untuk menyiapkan hanya satu video saja dan ia menjejaskan jadual tugasan harian.

Itu antara masalah ‘biasa’ yang sering dihadapi oleh penyedia kandungan sehingga mengganggu produktiviti harian serta melambatkan tugasan yang sudah berjadual.

DENGAN ConceptD 500, pengguna dapat menjimatkan masa proses sintesis video atau animasi yang menggunakan keupayaan AI.

Bagaimana pula jika pengguna menggunakan set desktop keluaran Acer daripada barisan produk ConceptD dan pastinya pengalaman itu akan jauh berbeza serta pengguna tidak lagi berdepan dengan mimpi ngeri seperti menerima mesej kritikal daripada sistem desktop.

Menerusi desktop ConceptD 500, pengguna akan dapat menjimatkan masa proses sintesis video atau animasi yang menggunakan keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) yang pastinya memakan masa lama untuk desktop biasa.

Produser Unit Multimedia, The New Straits Times Press (NSTP) Azrul Affandi Sobry mengakui bahawa desktop berkenaan banyak mengubah persepsinya berhubung proses sintesis yang dijana menggunakan sistem operasi Windows.

BAHAGIAN belakang ConceptD 500.

Azrul Affandi sebelum ini menggunakan set desktop lain dan ada kalanya terpaksa menunggu dalam tempoh lama terutamanya membabitkan penyuntingan video yang mempunyai banyak animasi, kesan grafik atau lapisan suntingan (layer).

“Sebagai seorang penyedia kandungan, perkara yang paling penting adalah masa kerana kita mengejar masa dan susunan bahan berjadual. Jika satu proses sintesis memakan masa yang lama, pastinya ia mengganggu keseluruhan penjadualan.

“Saya memuji keupayaan ConceptD 500 apabila banyak membantu tugasan harian dan tempoh masa sintesis juga sangat pantas. Boleh saya cakap tempoh masa sintesis itu sangat singkat.

“Berdasarkan pengalaman baru-baru ini, saya melakukan tugas sintesis untuk resolusi 4K dan selepas siap suntingan saya bangun untuk mengambil air di belakang pejabat, apabila saya sampai semula, proses suntingan itu sudah selesai,” katanya.

Menurutnya, beliau begitu kagum dengan prestasi desktop ConceptD 500 kerana mampu melakukan tugasan dengan kadar waktu pantas.

Menerusi aspek spesifikasi desktop berkenaan, ConceptD 500 dikuasakan dengan pemproses Intel Core i7-9700K yang dipadankan bersama memori (RAM) 16GB DDR4.

Sistem storan menggunakan dua jenis iaitu 256GB SSD M.2 PCIe serta 1TB 7.2Krmp bersama Unit Pemproses Grafik (GPU) keluaran NVIDIA iaitu Quadro P2000 dengan kapasiti memori video (VRAM) 5GB.

Untuk desktop ini, Acer menawarkan tawaran jaminan selama tiga tahun untuk sebarang masalah dan secara keseluruhannya, ia sememangnya desktop kelas penyedia kandungan kerana mempunyai padanan spesifikasi terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 9:48 AM