MUHAMMAD Farhat menyemak jam pintar yang dipakainya untuk melihat notifikasi terkini.
Muhammad Saufi Hassan

PEMAKAIAN jam pintar pada masa kini umpama satu ‘trend’ apabila semua pengguna berlumba-lumba untuk memakai peranti berkenaan kerana ia bukan saja memudahkan tugasan harian malah mampu menjadi jurulatih riadah pintar.

Pengguna tidak perlu lagi menyemak telefon pintar tatkala menerima notifikasi sama ada pesanan daripada aplikasi atau e-mel sebaliknya boleh membaca terus daripada peranti boleh pakai berkenaan.

Kebanyakan pengguna juga menjadikan peranti pintar itu sebagai jurulatih pintar mereka tatkala melakukan aktiviti riadah bagi merekod sebarang aktiviti.

Malah, peranti boleh pakai keluaran Apple iaitu Apple Watch Series 5 bukan saja bertugas menjadi diari mudah alih sebaliknya memberi peringatan kepada pemakainya jika didapati wujud sistem badan yang tidak normal seperti kadar degupan jantung.

Ia bukan sekadar jam pintar apabila peranti boleh pakai berkenaan mengesan bacaan degupan jantung tidak normal pada pemakainya dan memberi notifikasi peringatan berhubung bacaan jantung di luar kebiasaan.

JAM pintar adalah trend pemakaian masa kini dan ia bukan saja boleh dijadikan jurulatih pintar malah memberikan peringatan penting kepada pengguna.

Itu yang dihadapi seorang pemuda apabila jam pintar miliknya iaitu Apple Watch Series 5 memberikan beberapa kali peringatan kepadanya bahawa bacaan jantungnya tidak normal biarpun dia tidak melakukan sebarang aktiviti.

Muhammad Farhat Haniff, 30, kemudian mendapatkan pemeriksaan dan hasilnya, pemuda berkenaan disahkan menghidap ‘Ectopic Rhythm’ iaitu bacaan degupan jantung tidak selari.

Menceritakan semula, Muhammad Farhat berkata, pertama kali dia menerima notifikasi peringatan berkenaan ketika dalam perjalanan menaiki pesawat selepas pulang bercuti daripada Langkawi ke Kuala Lumpur.

“Ketika itu, ia satu penerbangan yang mencabar memandangkan ada banyak gegaran berikutan keadaan cuaca di luar pesawat.

APLIKASI denyutan jantung yang dikenali sebagai ‘Heart’ membolehkan pengguna menyemak bacaan degupan terkini dan ia turut menunjukkan bacaan terdahulu.

“Saya menerima notifikasi kali pertama ketika dalam pesawat berkenaan dan saya andaikan ia biasa dan mungkin berkait rapat dengan keadaan pesawat yang sering bergegar.

“Beberapa hari selepas itu, saya menerima notifikasi sama dan ia menyatakan bacaan kadar jantung yang tinggi sedangkan ketika itu saya tidak melakukan sebarang senaman atau aktiviti luar, hanya berehat saja.

“Selepas beberapa kali menerima notifikasi sama, saya tidak sedap hati dan mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik di Cyberjaya (Selangor). Selepas pemeriksaan lanjut termasuk rawatan prosedur ‘Electrocardiogram’ (ECG) mendapati bacaan degupan jantung saya tidak normal,” katanya.

Menurutnya, rawatan lanjut di Hospital Putrajaya juga menunjukkan keputusan sama, namun penyakit ini bukan dalam klasifikasi mengancam nyawa jika ia dikawal dengan baik.

“Saya kini menggunakan beberapa aplikasi menerusi Apple Watch saya terutama aplikasi pernafasan kerana ia membantu memperbaiki kadar bacaan degupan jantung memandangkan penyakit ini tidak mempunyai rawatan yang khusus.

PEMUKA Apple Watch Series 5 boleh merekodkan bacaan kadar degupan jantung untuk satu tempoh masa.

“Syukur kerana saya mengetahui dengan lebih awal dan saya agak terkejut kerana peranti boleh pakai milik Apple ini mampu untuk memberikan notifikasi awal seperti itu,” katanya.

Berdasarkan spesifikasi teknikal Apple Watch Series 5, jam pintar berkenaan dilengkapi dengan peralatan elektronik yang mampu merekod bacaan degupan jantung.

Ia memberi peringatan kepada pengguna jika didapati wujud sebarang keadaan tidak normal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 6:30 AM