Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT gergasi elektronik, Apple hari ini mengumumkan pendapatan suku tahunan sebanyak RM374.68 bilion (USD91.8 bilion) iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus bagi keputusan kewangan untuk suku pertama tahun fiskal 2020 yang berakhir 28 Disember lalu.

Jualan produk miliknya bagi segmen antarabangsa menyumbang 61 peratus daripada pendapatan suku berkenaan dan ia didorong oleh pelancaran beberapa peranti terkini keluaran syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, pihaknya sangat gembira mengumumkan rekod pendapatan suku tahunan tertinggi Apple yang didorong oleh permintaan kukuh untuk model terbaharu peranti pintar iPhone 11 dan iPhone 11 Pro.

“Ia adalah rekod sepanjang masa untuk perkhidmatan serta peranti boleh pakai keluaran Apple. Perkakasan keluaran Apple juga sudah menjangkau 1.5 bilion kepenggunaan aktif pelbagai peranti membabitkan semua segmen geografi dan ini adalah bukti bahawa produk keluaran syarikat mendapat maklum balas positif daripada pelanggan,” katanya menerusi satu kenyataan media, awal pagi tadi.

Jenama berkenaan kekal sebagai pengeluar peranti premium apabila menawarkan perkakasan baharu yang memberi revolusi kepada segmen pasaran keseluruhannya.

Apple dianggap jenama paling berjaya setakat ini dengan menampilkan peranti revolusi teknologi di pasaran dan kini syarikat berkenaan turut mempunyai perkhidmatan penstriman video Apple TV.

Kepenggunaan peranti aktif sebanyak 1.5 bilion itu termasuk beberapa perkhidmatan baharu yang diperkenalkan antaranya Apple TV dan juga Apple Watch selain penjualan siri produk sedia ada daripada iPhone, iPad dan Apple Watch.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 10:32 AM