Muhammad Saufi Hassan


PENGUASAAN bagi segmen unit pemproses grafik (GPU) pasti lebih hangat apabila pencabar terdekat Nvidia iaitu Advanced Micro Devices (AMD) bakal melancarkan dua lagi produk pada tahun ini.

AMD dikatakan bakal melancarkan ‘pembunuh RTX2080’ menerusi dua kad grafik mereka iaitu RX5800XT dan RX5900XT yang menawarkan kuasa pemproses grafik lebih baik menggunakan rekaan binaan 7nm.

Kad grafik berkenaan menggunakan landskap pemproses grafik daripada Navi 21 dan dijangka mampu untuk menandingi GPU kelas prestasi keluaran Nvidia iaitu RTX2080 Ti atau versi Super.

Berdasarkan khabar angin, Radeon RX5900XT akan dilengkapi dengan pemproses teras sebanyak 4,352 serta kapasiti video memori (VRAM) yang ditawarkan sebanyak 12GB sesuai untuk resolusi permainan 4K.

Keupayaan kapasiti memori yang besar disokong oleh jenis memori terbaharu, GDDR6 bersama 384 bit bus untuk melakukan tugasan berat termasuk sintesis visual pada skala yang lebih besar.

Kad berkenaan akan menggunakan talaan kuasa pada kadar biasa 1,500MHz manakala untuk talaan mod permainan pada 1,600MHz dan talaan prestasi penuh 1,735MHz.

Menerusi sumber kuasa untuk kad grafik ini, GPU ini dikatakan menggunakan dua sambungan kuasa lapan pin bersama sokongan visual satu slot untuk HDMI serta tiga slot untuk DisplayPort.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 12:09 PM