LAI (tengah) melakukan gimik pelancaran disaksikan Jake, Tan, Rozlan dan Sherene. FOTO Owee Ah Chun
Redzuan Muharam


TELEKOM Malaysia Bhd (TM) menerusi unifi menawarkan ganjaran menarik untuk pelancong asing menerusi Pas Kembara Mudah Alih Unifi yang dilancarkan Januari lalu.

Ketua Pemasaran dan Komersial unifi, Lai Shu Wei berkata, syarikat itu turut menyediakan lebih banyak lokasi bagi membolehkan pelancong melanggan pakej itu seperti di semua lapangan terbang antarabangsa meliputi Pusat Maklumat Tourism Malaysia (TIC), kemudahan Malaysia Healthcare serta ruang menunggu di lapangan terbang utama serta di Menara Kuala Lumpur.

“Kerjasama itu adalah kesinambungan kolaborasi yang dimeterai pada bulan lalu di antara Tourism Malaysia dan TM yang menjadi rakan telekomunikasi strategik untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Sherene Azli; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Datuk Rozlan Mohamed; Ketua Pemasaran Klook di Malaysia, Emily Tan dan Pengarah Urusan Fave, Datuk Jake Abdullah.

Mengulas mengenai sasaran pelanggan yang akan menerima manfaat daripada pelan itu, Lai berkata, pihaknya belum menetapkan angka tertentu kerana pelan itu baru diperkenalkan dan perlu menunggu maklum balas pelanggan terlebih dulu.

"Apabila kita memperkenalkan produk baru di pasaran, kita mahu memastikan pelanggan merasai pengalamannya terlebih dulu.

"Hasil maklum balas diterima nanti, barulah kita akan melihat aspek lain termasuk sasaran tetapi kita yakin ia diterima baik," katanya.

Katanya, rakan strategik amat penting dan persamaan antara semua pihak membawa kepada kerjasama ini.

"Kerjasama dengan Menara Kuala Lumpur misalnya, didorong oleh faktornya sebagai salah satu lokasi ikonik di dalam negara yang berupaya menarik pelancong ke situ.

"Manakala, kesihatan pula segmen lain yang semakin berkembang dan disebabkan itu kita wujudkan kerjasama dengan MHTC kerana menyedari adanya pelancong datang ke negara ini untuk mendapatkan rawatan di samping meneroka tempat menarik dan pada masa sama mahu terus berhubung dengan keluarga mereka," katanya.

Pelan terbaru itu didatangkan dengan dua pilihan iaitu Travel Pass untuk tujuh hari yang berharga RM30 dan 15 hari pada harga RM60.

Kad SIM itu juga siap mengandungi tempoh liputan RM5 yang membolehkan mereka membuat panggilan pada kadar 20 sen seminit atau menghantar mesej teks pada kadar 10 sen bagi setiap pesanan ringkas.

Katanya, kedua-dua pelan itu menawarkan data berkelajuan tinggi, 4G LTE atau 3G dengan akses tanpa had ke lebih 8,000 WiFi hotspots di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 6:49 PM