X
Muhammad Saufi

DUA minggu lalu, komuniti sukan elektronik di negara ini kecoh apabila beberapa platform permainan tidak boleh diakses dan ia berlaku kepada jaringan perkhidmatan Unifi milik Telekom Malaysia Berhad (TM).

Perkara itu mengundang rasa kurang berpuas hati dalam segelintir komuniti sukan elektronik tempatan memandangkan platform yang menghadapi log masuk antaranya Ubisoft dan Rockstar Games menawarkan judul permainan AAA.

Masalah sama turut dihadapi oleh jaringan PlayStation Network namun masalah berkenaan sudah diselesaikan beberapa jam selepas ia dilaporkan serta tular di media sosial.

Susulan itu, TM mengeluarkan kenyataan semalam dengan menafikan dakwaan sebelum ini bahawa mereka bertindak menyekat platform permainan terbabit.

TM ingin membawa perhatian pengguna berhubung kebimbangan yang dibangkitkan khususnya penggemar permainan atas talian atau ‘gamers’, berkenaan kesukaran untuk mengakses ke beberapa pelayan.

Antara pelayan yang menghadapi kesukaran untuk log masuk adalah platform atas talian antarabangsa seperti EA, Ubisoft dan

Playstation Network (PSN).

Menerusi kenyataan berkenaan, TM ingin menjelaskan bahawa pihaknya tidak menyekat pelayan permainan atas talian

kerana sememangnya memahami dalam gaya hidup digital masa kini, permainan video mempunyai pengaruh besar kepada ramai individu, termasuklah TM

Selain itu, TM sudah menjalankan siasatan terperinci perkara ini dan turut menghubungi penyedia pelayan berkenaan. Siasatan terbabit mendapati bahawa isu itu bukan saja dialami oleh pengguna Unifi, malah ‘gamers’ di rangkaian lain.

Terdapat pelbagai senario yang mungkin memberi kesan kepada kebolehcapaian pengguna kepada pelayan permainan antaranya termasuklah pelbagai log masuk secara serentak dan cubaan log masuk yang tidak tepat.

TM ingin mencadangkan kepada pengguna agar berhubung secara terus dengan penyedia pelayan berkenaan untuk menyemak sekiranya ada sebarang isu berkaitan identiti log masuk mereka atau jika ada langkah konfigurasi yang mungkin mereka perlu semak dalam usaha untuk menyelesaikan isu terbabit.

Selain itu, pusat operasi rangkaian TM yang berteknologi tinggi sentiasa memantau rangkaian secara proaktif dan mengoptimumkan laluan trafik data untuk mengatasi dan mengelakkan kesesakan bagi mempertingkatkan lagi pengalaman keseluruhan pengguna digital di negara ini termasuklah komuniti pemain permainan maya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:54 PM