Muhammad Saufi Hassan


JIKA pengguna di luar sana pernah membeli telefon sekitar lewat 1990-an atau awal tahun 2000 pastinya pernah melalui situasi untuk mengecas telefon sekurang-kurangnya enam jam selepas keluar daripada kotak.

Namun, ‘tradisi’ mengecas telefon untuk tempoh berkenaan tidak lagi wujud pada waktu ini dan ada yang mengatakan bahawa satu mitos teknologi suatu ketika dulu.

Secara umumnya, mengecas telefon dalam suatu tempoh berkenaan tidak mitos dan ia bukan satu penipuan sebaliknya teknologi bateri ketika itu masih menggunakan campuran Nikel Kadmium sebagai bahan utama untuk melakukan reaksi serta bekalan kepada peranti.

Pada masa kini, bateri jenis itu tidak lagi digunakan sebaliknya semua peranti menggunakan jenis Lithium Ion yang tidak memerlukan tempoh pengecasan bagi membolehkan campuran kimia berkenaan menjadi reaktif.

Masalah besar bagi bateri teknologi Nikel Kadmium ini adalah ia menggunakan ‘sistem memori’. Bahasa mudah adalah bateri beroperasi berdasarkan jangka masa ia dinyahcas dan bateri jenis itu akan ‘mengingati’ tempoh kitaran berkenaan.

Bagi mengelakkan masalah kesan memori terbabit, bateri jenis Nikel perlu dicas untuk tempoh yang panjang bagi memastikan ia kekal berfungsi.

Bateri jenis itu juga sangat tidak sesuai digunakan kerana menghadapi masalah penurunan prestasi yang sangat kritikal berbanding Lithium Ion.

Ia juga mempunyai kesan alam sekitar yang agak besar memandangkan bateri jenis itu mengandungi sekitar enam peratus kandungan bateri industri dan 18 peratus bateri pengguna iaitu mengandungi toksid dan memerlukan penjagaan teliti untuk proses pelupusan.

Sementara itu, bateri Lithium Ion mempunyai kos selenggaraan yang rendah dan boleh dicas atau nyahcas tanpa masalah berbanding Nikel Kadmium.

Bagaimanapun, kelemahan Lithium Ion adalah bateri jenis ini mudah untuk pecah dan memerlukan litar perlindungan bagi memastikan tahap keselamatannya.

Kesimpulannya, mengecas bateri dalam satu tempoh masa bukanlah satu mitos sebaliknya keadaan ketika itu yang memerlukan perkara berkenaan dilakukan.

Arus kemajuan teknologi juga sudah mengubah kapasiti campuran bateri dan kini, pengguna tidak lagi perlu mengecas kali pertama dalam tempoh yang lama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 3:31 PM