AMD melancarkan kad grafik RX 5500XT untuk kelas permulaan dengan harga yang mampu milik.
AMD melancarkan kad grafik RX 5500XT untuk kelas permulaan dengan harga yang mampu milik.
Muhammad Saufi Hassan


‘GAMERS’ selalunya berada dalam dilema tatkala ingin memilih unit pemproses grafik (GPU) bagi desktop mereka memandangkan setiap peringkat perkakas berkenaan mempunyai perbezaan keupayaan, prestasi dan lebih utama adalah harga.

Penulis ingin mencadangkan kepada ‘gamers’ yang tidak mempunyai bajet keras untuk melihat kad grafik keluaran Advanced Micro Devices (AMD) RX 5500XT.

Kad grafik ini sangat sesuai untuk permainan dalam resolusi definisi penuh (FHD) 1080p memandangkan ia menggunakan rekaan baharu daripada generasi NAVI milik syarikat berkenaan.

Untuk resolusi 1080p, RX 5500XT sudah sangat mencukupi memandangkan ia turut mempunyai kapasiti video memori (VRAM) 8GB dan sangat sesuai untuk sebarang judul permainan masa kini.

AMD semakin giat mengemas kini barisan produk mereka untuk segmen GPU dengan melancarkan siri ini termasuk siri RX 5700XT bagi peringkat premium khusus untuk pemain yang mahu menggunakan resolusi 2K atau 4K.

Jika dibandingkan dengan kad keluaran Nvidia GeForce, RX 5500XT hampir setara dengan GTX 1660 dan 15 peratus lebih baik berbanding GTX 1060.

KAPASITI VRAM untuk GPU ini sangat sesuai untuk ‘gamers’ yang mempunyai bajet kecil.
KAPASITI VRAM untuk GPU ini sangat sesuai untuk ‘gamers’ yang mempunyai bajet kecil.

Bagaimanapun, GPU ini tidak bersesuaian untuk resolusi 2K memandangkan ia akan bergelut dalam aspek prestasi sesuai dengan keupayaannya untuk memenuhi kehendak ‘gamers’ dalam kategori peringkat permulaan.

Menerusi ujian prestasi dalam resolusi 1080p untuk tetapan ‘medium’ dan ultra menunjukkan RX 5500XT mencatatkan bacaan bingkai sesaat (FPS) yang lebih baik berbanding GTX 1060 dan hampir setara dengan kad generasi baharu GTX 1660.

Rekod ujian untuk tetapan medium menunjukkan RX 5500XT mencatatkan 95FPS, manakala pesaingnya iaitu GTX 1660 Ti pada 116FPS manakala GTX 1650 Super 96FPS.

Bagi ujian tetapan ultra pula, RX 5500XT mencatatkan 59FPS, GTX 1650 Super (61FPS) manakala GTX 1660 Ti (78FPS). Namun, kad keluaran AMD ini boleh dibanggakan kerana ia masih dalam kategori peringkat permulaan manakala perbandingan siri GTX 1660 adalah kategori peringkat pertengahan.

Penulis melakukan ujian untuk resolusi 1080p dan hasilnya sangat baik dan turut melakukan ujian pada 2K. RX 5500XT masih boleh melakukan pemproses kesan grafik pada resolusi 2K dengan tetapan tinggi (high setting) namun kesan paling jelas adalah kesan grafik yang bergeometri.

Secara keseluruhannya, kad keluaran AMD ini sangat baik untuk resolusi permainan 1080p memandangkan ia dilengkapi dengan VRAM yang tinggi berbanding Nvidia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:19 AM
Digital NSTP Subscribe