Muhammad Saufi Hassan


APPLE dilaporkan mungkin akan menangguhkan pelancaran iPhone terbarunya yang dijadualkan akan diperkenalkan kepada umum pada September depan.

Ia susulan penularan virus Covid-19 yang sedang menyerang seluruh dunia serta menjangkiti ratusan ribu penduduk dunia termasuk ribuan yang meninggal dunia.

Berdasarkan satu laporan portal teknologi menyatakan bahawa Apple mungkin menangguhkan pelancaran peranti baharu mereka sehingga penularan wabak ini selesai sepenuhnya.

Sehingga kini, Apple masih berdepan dengan masalah kekurangan peranti di pasaran berikutan virus berkenaan memaksa beberapa kilang pembuatan peranti keluarannya ditutup sementara waktu.

Selain itu, wujud juga kemungkinan bahawa pengguna tidak teruja untuk menukar peranti baharu memandangkan masih melakukan pemulihan kewangan selepas penularan wabak pandermik berkenaan.

Apple tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu dan portal berkenaan menyatakan bahawa sumber dalaman gergasi teknologi berkenaan sedang berbincang untuk memutuskan perkara berkenaan.

Peranti iPhone adalah segmen paling penting untuk Apple memandangkan model berkenaan banyak memberi jumlah keuntungan yang tinggi buat syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pengguna perlu menunggu sehingga pengumuman rasmi daripada Apple kelak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2020 @ 11:14 PM