GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Saufi Hassan


MASALAH kelemahan di dalam aplikasi mesyuarat Zoom dan masalah 'debit automatik' menerusi institusi perbankan beberapa hari lalu adalah isu berbeza.

Pakar keselamatan siber, Fong Chook Fook tidak menafikan bahawa aplikasi Zoom sememangnya mempunyai beberapa kelemahan dalam versi sebelum ini, namun Zoom sudah mengemas kini versi baharu yang memperbaiki kerentanan sedia ada.

"Saya ingin tegaskan bahawa mesej tular yang menyatakan bahawa aplikasi Zoom mampu mendedahkan identiti perbankan pengguna adalah tidak benar memandangkan ia adalah dua isu yang berbeza.

"Pada masa sama, saya ingin menasihatkan pengguna supaya sentiasa mengemas kini versi terbaharu aplikasi mereka dan jika masih bimbang tentang keselamatan, pengguna boleh memilih Google Meet atau Microsoft Team yang pastinya dibina daripada syarikat ternama.

"Selain itu, saya juga ingin mengingatkan kepada pengguna supaya tidak menyebarkan sebarang mesej yang tidak mempunyai bukti kukuh kerana ia boleh mencetuskan situasi panik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif LE Global Services Sdn Bhd berkata, sebelum ini, pembangun aplikasi berkenaan mengakui ada menghantar data kepada Facebook (FB) dan pihaknya mengesyaki ia bertujuan untuk kempen pengiklanan platform media sosial terbabit.

Sebelum itu, tular di media sosial berhubung mesej menyatakan bahawa aplikasi Zoom membocorkan data sensitif pengguna termasuk rekod pelayaran Internet membabitkan transaksi perbankan.

Awal minggu lalu, sebuah portal teknologi mendedahkan bahawa terdapat ribuan klip video yang dirakam menerusi aplikasi berkenaan disiarkan di Internet sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung tahap keselamatan aplikasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2020 @ 1:17 PM