ROG Strix GA3
ROG Strix GA3
Muhammad Saufi Hassan


ASUS Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran produk yang menggunakan pemproses AMD Ryzen siri 4000 dan ia dilihat terus mengukuhkan kedudukan jenama berkenaan sebagai peneraju siri eksklusif kelas permainan.

Sebanyak enam produk membabitkan laptop dan desktop kelas permainan termasuk mampu milik dilancarkan yang kesemuanya menggunakan pemproses keluaran AMD.

Menerusi siri Republic of Gamers (ROG) tampil dengan laptop premium iaitu ROG Zephyrus G15, desktop permainan ROG STRIK GA35 serta GA15 dan produk mampu milik daripada siri ASUS TUF Gaming A15 dan A17.

ASUS juga melancarkan laptop untuk produktiviti iaitu ASUS VivoBook S14 yang sesuai untuk semua peringkat pengguna terutamanya yang sering bergerak ke satu lokasi ke lokasi lain memandangkan peranti berkenaan adalah ringan serta ketahanan bateri yang luar biasa.

Menyentuh aspek spesifikasi bagi produk premium iaitu ROG Zephyrus G15, laptop berkenaan menggunakan pemproses siri AMD Ryzen 7-4800HS serta dikuasakan dengan kad grafik Nvidia GeForce GTX 1660Ti dengan rekaan MAX-Q.

Peranti berkenaan dipadankan bersama skrin 15.6 inci berteknologi IPS serta didatangkan dengan kadar segar semula 144Hz sesuai untuk semua genre permainan termasuk tugasan sintesis video.

Ia menggunakan storan PCIE NVME 1TB M.2 SSD yang menawarkan kelajuan pindahan data dan harga yang ditawarkan untuk G15 adalah RM5,299.

Bagi dua barisan desktop kelas permainan iaitu ROG Strix GA35 dan GA15, ASUS menawarkan dua variasi untuk GA35 dan GA15 yang membezakan daripada aspek padanan spesifikasi, kad grafik perkakasan asas.

Untuk GA35 variasi tinggi, ia dilengkapi dengan sistem penyejuk semua dalam satu, 240mm berasaskan cecair dengan pemproses AMD Ryzen 9-3900X bersama papan induk X570 termasuk keupayaan memori (RAM)16GB berfrekuensi 3200Mhz.

Kad grafik yang ditawarkan untuk model ini adalah Nvidia GeForce RTX 2080Ti. Harga yang ditawarkan untuk variasi dekstop ini bermula RM4,299 hingga RM14,999.

ASUS juga turut memperkenalkan laptop barisan produk permainan TUF Gaming yang ditawarkan menerusi lima variasi berbeza bersama padanan pemproses Ryzen 7 hingga Ryzen 9 mengikut model tertentu.

Tanda harga bermula pada RM4,699 hingga RM5,899 manakala padanan kad grafik pula adalah Nvidia GeForce GTX 1660Ti dan RTX 2060 mengikut kesesuaian dan bajet pengguna.

Semua produk yang dilancarkan sudah berada di pasaran dan pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi kedai rasmi ASUS serta laman web jenama berkenaan.

Spesifikasi Desktop ROG Strix GA35

Pemproses : Ryzen 9-3900X

RAM : 16GB DDR4 3200Mhz

Kad Grafik : RTX 2080Ti

Perkakasan percuma : Papan kekunci ROG Strix Flare, ROG Gladius II

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 9:38 PM