Muhammad Saufi Hassan


APPLE melancarkan kemaskini terbaharu untuk sistem operasi miliknya, iOS versi 13.5 yang memperkenalkan sistem 'Aplikasi Program Antaramuka (API) yang bakal digunakan oleh agensi kesihatan dalam pembangunan perisian pengesanan penularan Covid-19.

Selain itu, iOS versi berkenaan meningkatkan masa akses bagi paparan kod laluan bagi peranti yang menggunakan laluan keselamatan FaceID terutamanya apabila pengguna memakai topeng muka.

Menerusi kemaskini aplikasi terbaharu untuk telefon pintar berkenaan, agensi kesihatan seluruh dunia boleh memulakan pembangunan aplikasi yang sesuai untuk menggunakan sistem API yang dibangunkan oleh dua syarikat terkemuka berkenaan.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan selepas Apple dan Google melaksanakan beberapa siri perbincangan dengan agensi kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar kesihatan tentang keperluan untuk menggunakan teknologi sebagai medium pencegahan kepada penularan wabak.

Sehingga hari ini, sebanyak 22 negara membabitkan lima benua sudah mengemukakan permohonan dan mempunyai akses kepada sistem API terbabit dan lebih banyak lagi negara akan menerima kemas kini baru berkenaan dalam beberapa minggu akan datang.

Sistem berkenaan berfungsi menerusi identiti denyutan Bluetooth daripada satu peranti kepada peranti lain dan identiti berkenaan akan diubah secara automatik setiap masa untuk mengelakkan daripada dimanipulasi pihak ketiga.

Pengguna boleh mendapatkan kemaskini berkenaan dengan menekan 'Setting' pergi kepada tab 'General' dan 'Software Update' untuk mendapatkan versi terbaharu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 12:12 AM