Muhammad Saufi Hassan

MUNGKIN ada segelintir yang berpandangan bahawa jika set desktop sudah menggunakan padanan pemproses berprestasi tinggi daripada generasi AMD Threadripper sudah pasti memerlukan sistem penyejuk cecair untuk meminimumkan rekod suhu.

Untuk membina sistem penyejuk cecair memerlukan kos yang agak besar termasuk penjagaan yang agak rapi bagi mengelakkan kebocoran yang boleh merosakkan keseluruhan sistem sedia ada.

Penulis cuba melakukan pengujian menerusi sistem penyejuk semua dalam satu (AIO) untuk set AMD Threadripper dan ternyata prestasi penyejuk AIO tidak mengecewakan namun perlu memilih jenama premium untuk kualiti serta rekod suhu yang baik.

Untuk 'kaki games' yang tidak mempunyai bajet keras, mereka mungkin akan memakai penyejuk biasa atau 'stock cooler' yang berasaskan kepada kuasa angin kipas berbanding AIO yang menggunakan cecair penyejuk.

Bagi pengguna tahap bangsawan pula sudah pasti akan menggunakan set penyejuk cecair binaan sendiri atau 'custom water cooling' yang menelan belanja ribuan ringgit untuk membeli perkakasan.

Berbalik kepada persoalan utama iaitu pemilihan AIO, penulis sebenarnya ingin membina set desktop yang menggunakan pemproses AMD Threadripper dan perkakas ini adalah daripada kategori pemproses kelas prestasi tinggi.

PADANAN pemproses kelas premium AMD Threadripper bersama sistem penyejuk semua dalam satu AIO jenama NZXT merekodkan suhu rendah walaupun dengan bebanan penuh.
PADANAN pemproses kelas premium AMD Threadripper bersama sistem penyejuk semua dalam satu AIO jenama NZXT merekodkan suhu rendah walaupun dengan bebanan penuh.

Sudah pasti, set AIO perlu menampung keupayaan pemproses berkenaan dan penulis menjumpai dua jenama AIO yang dikategorikan antara yang terbaik iaitu NZXT dan Enermax.

Bagi Enermax, penulis melihat prestasi dalam binaan pemproses Threadripper agak mengagumkan untuk model Enermax Liqtech TR4 II 360 500W, bagaimanapun ia agak berisiko dalam jangka panjang memandangkan ada masalah daripada pengguna lain bahawa wujud hakisan pada pemuka haba sistem penyejuk itu.

Pilihan terbaik bagi penulis adalah NZXT Kraken X62 atau generasi terbaru untuk kelas prestasi tinggi dan sejujurnya penulis tidak pernah menggunakan mana-mana produk AIO keluaran NZXT sebelum ini.

Hasilnya amat mengagumkan apabila bacaan suhu untuk pemproses Threadripper 2950X bagi status tanpa bebanan adalah 32 darjah celcius manakala untuk prestasi permainan serta sintesis pada 68 darjah celcius.

Pengguna juga boleh memuat turun perisian AIO NZXT iaitu NZXT Cam untuk memantau suhu pemproses serta melakukan talaan prestasi mengikut kepenggunaan.

Penulis lebih mudah untuk menetapkan pada mod ubah suai prestasi bagi mengekalkan suhu paling minimum untuk pemproses dan pengguna juga boleh melakukan tetapan warna RGB mengikut tema.

Secara keseluruhannya, penulis sangat berpuas hati dengan AIO keluaran NZXT berkenaan dan pastinya akan memiliki AIO terbaru syarikat berkenaan iaitu Siri Z yang masuk pasaran negara Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 6:30 AM