X
CIRI iOS 14 yang menampilkan siri baharu untuk pengguna
CIRI iOS 14 yang menampilkan siri baharu untuk pengguna
Muhammad Saufi Hassan

PERSIDANGAN Pembangunan Sedunia atau 'Worldwide Developer Conference (WWDC) 2020 anjuran Apple sememangnya antara platform tumpuan umum memandangkan ia akan memberi gambaran ringkas berhubung produk yang akan dilancarkan oleh syarikat gergasi teknologi berkenaan.

Menerusi persidangan berkenaan, Apple mendedahkan beberapa pembaharuan untuk kemaskini sistem operasi membabitkan iOS versi 14, iPadOS dan WatchOS.

Antara yang menjadi perhatian utama apabila Apple memperkenalkan 10 ciri terbaharu untuk iOS 14 yang bakal digunakan secara rasmi untuk iPhone 12 dan beberapa generasi iPhone terdahulu.

Sehingga kini, beberapa generasi iPhone bermula daripada iPhone 6S, 6S Plus dan iPhone SE Generasi Pertama akan mendapat kemas kini sistem operasi berkenaan diikuti iPhone 7 serta iPhone 7 Plus.

Pengguna peranti iPhone 8, iPhone 8 Plus, iPhone X sehingga kepada iPhone SE Generasi kedua akan mendapat kemas kini berkenaan apabila ia dilancarkan secara meluas.

Paling mendapat perhatian, Apple memperkenalkan ciri 'Widget' untuk iOS 14 dan pengguna boleh meletakkan widget di paparan skrin utama mirip peranti Android.

#ITMetro meringkaskan beberapa ciri khusus yang diperkenalkan oleh Apple untuk iOS 14 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

• Widget

Apple mengambil langkah drastik apabila melakukan perubahan pada tetapan skrin utama menerusi tetapan widget dan ia bakal memberi nafas baru buat sistem operasi berkenaan.

Pengguna boleh meletakkan sebarang widget kesukaan mereka mengikut tahap kepenggunaan dan ia langkah berani untuk Apple bagi versi terbaharu iOS


• Aplikasi terjemahan (Translate App)

Apple sedar terhadap tuntutan pengguna yang sering kali menggunakan aplikasi terjemahan bahasa dan kali ini, Apple memperkenalkan aplikasi khusus untuk tujuan berkenaan.

Aplikasi berkenaan akan menyokong 11 alih bahasa saja buat masa ini dan Apple akan melakukan tambahan sokongan selepas ia dilancarkan.

• Bar notifikasi panggilan lebih kecil

Menerusi iOS 14, Apple memperkenalkan paparan bar notifikasi panggilan yang bersaiz kecil di bahagian atas skrin sekali gus memberi kelebihan kepada pengguna.

Ia adalah ciri khusus yang diperkenalkan untuk memberi pengalaman lebih baik kepada pengguna.


• Mod malam / tidur

Mod tanpa gangguan ini dikenali sebagai fungsi 'Wind Down Mode' khusus untuk pengguna peranti pintar menetapkan satu fungsi tiada gangguan sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Fungsi itu membolehkan pengguna menetapkan waktu tidur dan bangun mengikut masa yang diinginkan.

Difahamkan, terdapat juga pilihan akses pintas untuk meditasi dan bermain muzik yang santai pada fungsi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 6:38 PM