GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) menawarkan kepada pemilik perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) peluang unik untuk mengubah perniagaan mereka secara digital dengan kit digital PKS sehenti iaitu Celcom Business Suite dalam usaha mempercepatkan peluang penerapan digital dalam kalangan pengusaha.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Celcom Axiata Berhad Azlan Zainal Abidin berkata, Celcom Business Suite menawarkan pelbagai penyelesaian digital untuk perniagaan PKS seperti tempat jualan elektronik (e-POS) berasaskan awan, pembayaran elektronik, penyelesaian pemasaran digital dan alat produktiviti tambahan seperti tablet dan Microsoft Office365.

"Perkhidmatan menyeluruh ini membolehkan perniagaan dengan penyelesaian digital yang tepat dipadankan dengan memudahkan digitalisasi perniagaan berskala kecil dan PKS tidak perlu mencari penyelesaian digital dari pelbagai penyedia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azlan berkata, penglibatan Celcom sebagai rakan penyelesaian teknologi bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) membolehkan Celcom Business Suite menerima geran Digitalisasi Perniagaan yang menawarkan PKS pemberian 50 peratus atau RM5,000 bagi setiap langganan perkhidmatan digital seperti e-POS, Perancangan Sumber Perusahaan (ERP), elektronik sistem gaji, Pemasaran Digital, Perolehan, e-Dagang dan Kerja Jarak Jauh.

Menurutnya, Celcom Business Suite menawarkan penyelesaian seperti Celcom SafePay e-POS iaitu sistem POS berasaskan Internet atau awan yang menawarkan kesederhanaan dan sangat sesuai untuk perniagaan kecil, seperti perniagaan runcit.

Kit digital PKS sehenti itu juga menawarkan Pemasaran Digital dengan Komunikasi OMNI iaitu portal web sehenti yang membolehkan capaian meluas kepada pelanggan melalui saluran SMS, e-mel, notifikasi Push, dan aplikasi sosial serta hubungan data dan pakej peranti mudah alih.

"Dengan memanfaatkan kemampuan, kepakaran, perkhidmatan inovatif, dan rangkaian perniagaan, Celcom bersedia memenuhi permintaan digital oleh PKS dengan pelbagai perkhidmatan, serta meningkatkan pengusaha dengan kepintaran perniagaan digital melalui program ini," katanya.

Selain itu, Celcom Business Suite juga menawarkan fleksibiliti kepada pemilik perniagaan untuk memilih dan menyesuaikan perkhidmatan tambahan berdasarkan keperluan perniagaan mereka.

Bagi setiap langganan Celcom Business Suite, pelanggan dapat memilih Microsoft Office365 atau memasarkan perniagaan mereka secara digital dengan Iklan Berdasarkan Lokasi (LBA) dengan harga berpatutan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 7:24 PM