X
Media dan pelanggan mencuba telefon bimbit model Samsung Galaxy 10 di Skytropolis Funland, Genting Highlands, tahun lalu. FOTO ROSELA ISMAIL
Media dan pelanggan mencuba telefon bimbit model Samsung Galaxy 10 di Skytropolis Funland, Genting Highlands, tahun lalu. FOTO ROSELA ISMAIL
Muhammad Saufi Hassan


Umpama satu 'trend' baharu apabila pengeluar telefon pintar lebih gemar untuk 'menjual' produk mereka saja dan aksesori dijual secara berasingan.

Kali ini, khabar angin menyatakan bahawa Samsung sedang mempertimbangkan untuk tidak menyertakan pengecas dalam kotak telefon pintar baharu.

Berdasarkan satu laporan portal berpangkalan di Korea Selatan, Samsung dipercayai cenderung dengan idea untuk menjual aksesori secara berasingan.

Jika perkara itu benar berlaku, maka pengguna perlu melakukan pembelian berasingan untuk pengecas memandangkan aksesori itu tidak lagi disertakan di dalam kotak.

Ia juga satu langkah untuk mengurangkan kos pembuatan dan ia juga mungkin berasaskan kepada idea bahawa semua pengguna telefon pintar di dunia ini memiliki lebih daripada satu pengecas.

Tindakan itu juga dikatakan bagi mengimbangi peningkatan kos untuk pembuatan telefon pintar 5G yang mempunyai tanda harga 'keras' berbanding peranti biasa.

Sekiranya ia dilaksanakan, model baharu yang dikeluarkan pada tahun depan tidak akan disertakan dengan pengecas dan pengguna mempunyai pilihan untuk membeli aksesori berkenaan atau menggunakan pengecas sendiri sekiranya ada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 1:41 PM