KONSEP permainan yang tidak ada pada judul simulasi pembinaan yang lain.
KONSEP permainan yang tidak ada pada judul simulasi pembinaan yang lain.
Muhammad Saufi Hassan


PERMAINAN genre simulasi mempunyai peminat tersendiri terutama jika ia membabitkan simulasi penerbangan yang boleh dikatakan menjadi kerjaya idaman setiap individu di negara ini.

Bagaimana jika simulasi berkenaan berkaitan dengan susun atur kilang dan pemain akan bertindak sebagai jurutera untuk mencantumkan setiap bahan mentah menjadi pelbagai produk siap.

Walaupun genre itu masih baharu bagi segelintir pemain di negara ini, namun ia sudah mempunyai peminat serta pengikut tersendiri sehingga mampu menarik perhatian pembangun permainan untuk menampilkan genre 'unik' berkenaan.

Itu adalah permainan berjudul 'Satisfactory' apabila pemain akan menjelajah ke planet lain untuk mencari hasil mineral serta menukar bahan mentah berkenaan kepada produk siap.

Bunyinya umpama satu permainan yang mudah, namun ia tidak semudah yang disangkakan kerana ia membabitkan susun atur kilang serta mesin yang sangat kompleks termasuk perlu membuat pengiraan janaan bekalan elektrik untuk satu tapak kilang.

Penulis juga merasakan ia permainan 'kacang' pada peringkat awal namun selepas memasuki tahap-tahap permainan, ia amat sukar dan mampu membuatkan pemain 'pecah kepala' untuk mencantumkan pelbagai produk siap kepada mesin untuk dijadikan bahan lain.

Permainan itu dibangunkan oleh Coffee Stain Studios yang menggunakan enjin grafik Unreal Engine 4 dan melalui proses pembikinan sejak beberapa tahun lalu dan judul berkenaan masih tidak siap sepenuhnya.

Namun pemain boleh membeli untuk versi 'Early Access' menerusi platform Steam dengan harga sekitar RM50 dan konsep permainan yang diketengahkan adalah naratif pandang pertama atau 'First Person'.

Ia juga boleh dimainkan secara 'Multiplayer' seramai empat orang di mana pemain akan bergandingan dengan rakan lain untuk membina kilang mengikut citarasa sendiri.

BABIT susun atur kilang serta mesin yang sangat kompleks termasuk perlu buat pengiraan janaan bekalan elektrik untuk satu tapak kilang.
BABIT susun atur kilang serta mesin yang sangat kompleks termasuk perlu buat pengiraan janaan bekalan elektrik untuk satu tapak kilang.

Di samping itu, ia mempunyai misi tertentu untuk setiap tahap dan pemain perlu memenuhi aspek keluaran produk untuk maju ke tahap berikutnya.

Aspek membina kilang dalam permainan ini tidak sukar, namun pastinya pemain berkeinginan untuk mempunyai reka letak kilang yang tersusun dan teratur, ia bakal menjadi cabaran besar untuk pemain.

Selain itu, pemain juga perlu memikirkan bagaimana untuk menghasilkan produk A yang perlu mempunyai beberapa gabungan produk separa siap yang lain.

Secara keseluruhannya, ia satu judul permainan yang sangat unik dan berpotensi untuk dimajukan pada masa depan.

Ia menampilkan konsep permainan yang tidak ada pada judul simulasi pembinaan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 6:44 AM