PERKEMBANGAN dunia masa kini jadikan sukan elektronik sebagai salah satu kerjaya yang menjanjikan pulangan pendapatan lumayan. - FOTO Google
PERKEMBANGAN dunia masa kini jadikan sukan elektronik sebagai salah satu kerjaya yang menjanjikan pulangan pendapatan lumayan. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


KERJAYA sukan elektronik semakin berkembang di negara ini malah ia berpotensi untuk menjadi karier yang mempunyai pendapatan lumayan dengan hanya bermain permainan secara kompetitif.

Mungkin beberapa dekad lalu, ramai pihak beranggapan bahawa permainan video ini hanya sebagai hobi namun perkembangan dunia masa kini sudah mengubah landskap secara keseluruhan dan menjadikan sukan elektronik atau eSport sebagai salah satu kerjaya yang menjanjikan pulangan pendapatan lumayan.

Tidak cukup itu, platform media sosial popular iaitu Facebook (FB) menyediakan ruang untuk penstriman permainan dan kaedah itu juga membuka peluang kepada pemain untuk menjana pendapatan menerusi mekanisme kiriman bintang.

Malah, kerjaya baharu itu boleh digilap bagi membuka ruang kepada pencari kerja terutama dalam kalangan lepasan universiti supaya memahirkan diri dengan kerjaya baharu ini untuk mencari sumber pendapatan.

Hakikatnya, walaupun industri sukan elektronik begitu berkembang di negara barat sehingga berjaya melahirkan atlit bertaraf profesional bergelar jutawan, namun situasinya berbeza di Malaysia walaupun ia semakin diminati.

Penasihat Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr Abdul Kadir Warsi Mohamed berkata, profesion sukan ini berpotensi menjana pendapatan lumayan kepada golongan muda yang cenderung berkawan dengan gajet.

PERKEMBANGAN digital buka ruang pada sukan elektronik dijadikan profesion masa depan. - FOTO Google
PERKEMBANGAN digital buka ruang pada sukan elektronik dijadikan profesion masa depan. - FOTO Google

"Secara rekodnya dalam perspektif sukan ini di peringkat antarabangsa, hadiah wang terkumpul bagi pemenang sudah melangkaui jumlah wang tunai yang ditawarkan dalam sukan golf.

"Sebelum ini, kita tahu bahawa sukan golf dikelaskan sebagai sukan 'jutawan' namun hasil perkembangan digital itu membuka ruang kepada sukan elektronik mengambil 'takhta' berkenaan.

"Jika kita lihat secara keseluruhannya pula, ramai atlit sukan elektronik ini sudah bergelar jutawan di peringkat antarabangsa dan segmen sukan ini mempunyai potensi yang sangat besar untuk dijadikan profesion masa depan," katanya.

Beliau berkata, bidang berkenaan adalah satu kerjaya masa depan yang menawarkan pendapatan lumayan selain daripada kemahiran pemain.

Katanya, jika sukan itu mampu untuk berkembang sebagai profesion masa depan yang sangat berpotensi, ia memerlukan satu laluan kerjaya supaya semua peringkat umur di negara ini diberikan peluang sama.

SUKAN elektronik memerlukan formula khusus kerana ia tidak sama dengan perkembangan sukan konvensional lain. - FOTO Google
SUKAN elektronik memerlukan formula khusus kerana ia tidak sama dengan perkembangan sukan konvensional lain. - FOTO Google

SESUAI untuk golongan muda yang cenderung berkawan dengan gajet. - FOTO Google
SESUAI untuk golongan muda yang cenderung berkawan dengan gajet. - FOTO Google

"Saya tidak nampak segmen sukan ini akan merudum kerana kita sekarang melangkah ke era digital dan hari ini kita bercakap soal jaringan Internet 5G.

"Jadi, saya amat yakin segmen sukan elektronik ini akan menjadi komponen penting dalam sukan dan ia adalah profesion yang masih 'kosong' dan menunggu atlit baharu untuk memenuhinya," katanya.

Beliau berkata, sukan elektronik memerlukan formula khusus kerana ia tidak sama dengan perkembangan sukan konvensional lain, namun mempunyai potensi besar.

"Dalam era digital ini, segmen sukan elektronik berpotensi sangat untuk berjaya dan kita mahu kerajaan mengambil langkah segera dengan menetapkan hala tuju.

"Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai contoh, perlu mengambil tanggungjawab sama ada melaksanakan kajian terlebih dulu dalam segenap aspek sebelum menggubal dasar atau polisi.

"Atlit bagi sukan ini perlu menumpukan perhatian dan berlatih seperti sukan lain cuma bezanya ia sukan maya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:00 AM