Muhammad Saufi Hassan

Beberapa tahun lalu, Huawei memperkenalkan variasi peranti boleh pakai keluarannya dan kini syarikat gergasi elektronik berkenaan memperkenalkan siri Watch Fit yang menawarkan jangka hayat bateri sehingga 10 hari.

Huawei Watch Fit ini adalah gabungan daripada keperluan pengguna yang aktif di samping kekal mengutamakan gaya 'trendy' semasa.

Menyentuh aspek spesifikasinya, Huawei Watch Fit mempunyai skrin empat segi tepat secara memanjang dengan keluasan 1.64 inci bersama paparan berteknologi AMOLED.

Rekaan skrinnya adalah melengkung di bahagian empat sisi dan Huawei memberi jaminan bahawa peranti boleh pakai berkenaan dibina menerusi bahan 'Polymer Fiber' yang tahan lasak.

Peranti berkenaan didatangkan dengan sistem operasi milik Huawei sendiri iaitu Lite OS dan mempunyai beberapa ciri khusus untuk pengguna aktif.

Sesuai dengan peranti jam pintar, pemuka Huawei Watch Fit boleh ditetapkan oleh pengguna mengikut keselesaan dan ia dilengkapi dengan sensor Sistem Pengesanan Global (GPS) serta bacaan Sp)2 dan sensor bacaan kadar degupan jantung.

Peranti itu juga boleh memantau tahap tidur pemakainya dan melakukan analisis data termasuk membuat kawalan muzik dan kawalan jauh untuk perakam kamera.

Paling mengagumkan adalah jangka hayat bateri Huawei Watch Fit yang mampu bertahan selama 10 hari tanpa pengecasan dan tujuh hari kekal bertahan untuk penggunaan optimum.

Jangka hayat bateri yang panjang berkenaan sememangnya direka untuk individu lasak yang gemar melakukan aktiviti di dalam hutan tanpa perlu memikirkan untuk mengecas peranti.

Huawei menawarkan peranti berkenaan dalam warna Graphite Black, Sakura Pink dan Mint Green.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 4:40 PM