Muhammad Saufi Hassan


Belum reda demam atau 'hype' berhubung kad grafik generasi baharu Nvidia iaitu RTX siri 3000, timbul pula masalah apabila pengguna mengalami gangguan ketika permainan.

Gangguan ini termasuk perisian permainan tersekat atau 'crashing' dan skrin gelap terutamanya kepada judul yang mempunyai pilihan ubahsuai grafik teknologi Nvidia iaitu Ray Tracing dan 'Deep Learning Super Sampling' (DLSS).

Penulis juga mengalami masalah yang sama untuk siri kad grafik RTX 3090 apabila ujian terhadap judul Assassin's Creed Odyssey, Metro Exodus dan Red Dead Redemption 2 menghadapi masalah yang sinonim.

Biarpun semua perisian perkakas itu sudah dikemaskini dengan versi terbaharu, nampaknya masalah dihadapi penulis dan pengguna lain masih wujud.

Nampaknya, Nvidia sudah 'meniru' masalah yang sering dihadapi oleh kad grafik keluaran Advanced Micro Devices (AMD) dan ada pengguna menyatakan ia adalah berpunca daripada perisian yang masih belum dioptimasi sepenuhnya.

Berdasarkan beberapa portal teknologi terkemuka pula menyatakan bahawa masalah itu berpunca daripada sistem talaan prestasi kad berkenaan.

Beberapa pakar pula menyatakan bahawa ia bergantung kepada jenama kad grafik berkenaan kerana wujud jenama kad AIB yang menggunakan kapasitor kelas rendah sekali gus tidak berupaya untuk menyokong prestasi kad berkenaan.

Perkara itu didedahkan seorang pengguna yang membuat perbandingan antara jenama AIB dan menunjukkan ada sesetengah jenama menggunakan kapasitor tidak sepatutnya sekali gus mengganggu prestasi kad berkenaan.

Bagaimanapun, perkara itu masih belum sepenuhnya dikenalpasti sama ada berpunca daripada perisian ataupun padanan spesifikasi untuk kad jenamaa (AIB) yang bermasalah.

Nvidia juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung masalah baharu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 12:05 PM