PASTIKAN apa keperluan sebenar ketika memilih laptop di pasaran agar tidak tertipu hingga berbelanja lebih.
PASTIKAN apa keperluan sebenar ketika memilih laptop di pasaran agar tidak tertipu hingga berbelanja lebih.
Muhammad Saufi Hassan

Mungkin ada segelintir pengguna yang masih keliru untuk membuat pemilihan ketika pembelian laptop untuk kegunaan peribadi, produktiviti atau tugasan rutin sama ada di pejabat atau di rumah.

Tambahan pula, terdapat pelbagai jenama laptop di pasaran yang menawarkan pelbagai tanda harga termasuk padanan spesifikasi sehingga pengguna rencam untuk membuat pemilihan.

Mungkin jenama A menawarkan harga lebih murah berbanding jenama B, namun akibat pengguna yang kurang kemahiran dalam aspek teknikal spesifikasi, mereka akhirnya membeli laptop dengan harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

#ITMetro minggu ini akan menyenaraikan beberapa tip untuk pengguna sekali gus membantu mereka yang dalam dilema untuk membeli laptop.

Ini kerana, setiap jurujual pastinya akan 'menjual kata manis' setiap jenama di kedai mereka sedangkan jika pengguna lebih bijak, mereka boleh menikmati harga yang berpatutan untuk laptop yang diperlukan dalam ruang keperluan mereka.

SETIAP pengguna memiliki keperluan penggunaan laptop yang berbeza mengikut keperluan dan ada yang memiliki laptop untuk tujuan permainan yang memerlukan spesifikasi lebih baik daripada kelas produktiviti.
SETIAP pengguna memiliki keperluan penggunaan laptop yang berbeza mengikut keperluan dan ada yang memiliki laptop untuk tujuan permainan yang memerlukan spesifikasi lebih baik daripada kelas produktiviti.

Tip 1 - Kenal pasti kegunaan utama

Sebelum pengguna melangkah ke kedai atau di gedung elektronik yang menawarkan puluhan jenama laptop, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti kegunaan laptop.

Setiap peringkat pengguna tidak sama. Contohnya, jika seorang pelajar jurusan fotografi atau animasi, pastinya mereka memerlukan laptop dengan spesifikasi yang lebih baik berbanding pelajar di jurusan yang kurang menggunakan perisian berprestasi.

Keadaan sama juga untuk pengguna lain, contohnya jika seorang pekerja yang hanya menggunakan laptop untuk menyemak e-mel, melakukan pembentangan biasa dengan perisian yang mudah dan untuk tujuan menaip, laptop mereka tidak memerlukan spesifikasi yang terlalu tinggi.

Tip 2 - Tentukan bajet untuk pembelian sebuah laptop

Ini sangat penting kerana pengguna perlu tahu bajet yang diletakkan untuk pembelian sebuah laptop bagi mengelakkan pembaziran atau kos yang tidak perlu.

Lebihan daripada bajet itu juga boleh digunakan untuk menaik taraf laptop seperti penambah keupayaan memori (RAM) atau menukar sistem operasi Windows menggunakan storan rekaan SSD atau NVMe yang pastinya lebih laju tanpa kelengahan.

Untuk pengguna yang membeli menerusi kad kredit, ia penting bagi mengelakkan pengguna terbeban dengan kos tidak perlu di kemudian hari sekali gus menjadi pengguna yang lebih bijak berbelanja.

Tip 3 - Padanan spesifikasi

Untuk tip ini, penulis akan menyenaraikan tiga padanan spesifikasi bagi tiga golongan pengguna supaya memudahkan pemilihan ketika pembelian. Cadangan spesifikasi ini adalah untuk padanan yang dicadangkan untuk keupayaan maksimum.

i. Laptop Prestasi Tinggi / Pelajar Animasi / Perisian Berprestasi / 'Gamers'

Pemproses: Intel Core i7 dan ke atas

RAM: 16GB

Storan: Sekurang-kurangnya 512GB SSD

Paparan: 15 inci dengan resolusi 3840 x 2160 (namun resolusi 1920 x 1080 sudah memadai)

Kad grafik: Nvidia GeForce RTX 2060 / RX 5600XT

ii. Laptop Produktiviti

Pemproses: Intel Core i5 atau ke atas

RAM: 8GB

Storan: 256GB SSD

Paparan: 14 inci Definisi Penuh

Kad grafik: Nvidia MX 450 atau yang sepadan

iii. Laptop Permulaan

Pemproses: Intel Core i5 dan ke atas

RAM: 8GB

Storan: 1TB Cakera Keras (HDD)

Paparan: 14 inci Definisi Penuh

Kad grafik: Integrasi Intel Grafik

ELAKKAN kos tidak perlu dalam pembelian sesebuah laptop.
ELAKKAN kos tidak perlu dalam pembelian sesebuah laptop.

Tip 4 - Jangan mudah terpengaruh dengan jurujual

Ia penting kerana setiap jurujual mempunyai satu objektif iaitu menjual dan melariskan setiap produk mereka dan pastinya mereka akan memberi input yang positif saja berkenaan seleksi produk yang dijual.

Oleh itu, pengguna perlu membuat sedikit kajian bagi spesifikasi mereka termasuk jenama sesebuah laptop sesuai dengan bajet serta keperluan.

Tip 5 - Dapatkan maklumat berhubung tempoh jaminan laptop

Sebaik membeli sesebuah peranti, sudah menjadi tugas penjual dan pengeluar jenama untuk memberikan perlindungan jaminan jika berlaku kerosakan terhadap perkakas berkenaan.

Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya mengetahui tempoh jaminan daripada penjual serta perlindungan jenama berkenaan sama ada ia boleh dilakukan di mana-mana cawangan atau sebaliknya.

Selain itu, pastinya juga anda mengetahui jenis kerosakan yang dilindungi supaya pengguna lebih berhati-hati dan mengetahui hak jika berlaku sesuatu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:30 AM